25.8.10

Ekonomi kukuh punca nilai ringgit melonjak

EKONOMI Malaysia yang lebih kukuh pada separuh pertama lalu menjadi antara faktor yang melonjakkan nilai ringgit ketika ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kita menyaksikan keadaan tidak menentu yang sangat ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa yang mana ia dijangkakan berterusan disebabkan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu di negara maju.

Sebaliknya, negara kita sendiri dan beberapa negara serantau menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada separuh pertama dan disebabkan keadaan itu, kita menyaksikan peningkatan nilai ringgit, katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis penyenaraian sukuk RM1 bilion Bank Pembangunan Islam (IDB) di Bursa Malaysia, semalam.

Ekonomi Malaysia berkembang 9.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selepas mengekalkan pertumbuhan kukuh 8.9 peratus pada suku kedua, dipacu peningkatan berterusan permintaan domestik dan eksport sektor perkilangan.

Ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini.

Ringgit diniagakan pada RM3.1340/1370 berbanding AS$1 dalam dagangan awal semalam berbanding RM3.1310/1330 ketika ditutup kelmarin.

Zeti berkata, bank pusat akan memantau dengan teliti pergerakan ringgit bagi memastikan pasaran kewangan berada dalam keadaan yang teratur.
Bank pusat tegasnya, tidak meletakkan sebarang sasaran sehingga setakat mana nilai ringgit boleh meningkat, tetapi hanya akan campur tangan jika terdapat sebarang pergerakan ringgit yang mengejut ataupun secara berlebihan.

Kami tidak meletakkan sasaran tetapi akan memastikan keadaan pasaran berada dalam keadaan yang teratur, katanya.

Beliau juga berkata, bank pusat tidak melihat keperluan untuk melakukan sebarang perubahan dalam komposisi rizab mata wang negara.

Kita kekal selesa dengan komposisi mata wang. Kita tidak melihat keperluan untuk melakukan sebarang perubahan hanya berdasarkan kepada persekitaran semasa.

Adalah penting untuk mengambil tinjauan jangka sederhana hingga panjang dan tidak terganggu dengan perkembangan yang berlaku baru-baru ini, katanya.

sumber : Berita Harian

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...