Iklan Nuff

4.6.11

Restoran mamak jamin tak naik harga



Oleh Amin Ridzuan Ishak 
aminridzuan@bharian.com.my
2011/06/04

PRESMA minta ahli serap kos operasi elak beban pelanggan 

GEORGETOWN: Ketika orang ramai bimbang kemungkinan berlaku peningkatan harga makanan dan minuman berikutan kenaikan tarif elektrik, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) tampil memberi jaminan untuk terus mengekalkan harga itu di premis ahlinya.
Malah, kira-kira 3,000 ahli PRESMA yang juga pengusaha restoran nasi kandar dan kedai mamak di seluruh negara, sudah diarah supaya menyerap peningkatan kos operasi itu dan bukannya membebankan pengguna menerusi kenaikan harga makanan dan minuman.

Dalam jaminannya semalam, Presiden PRESMA, Noorul Hassan Saul Hameed, berkata pelanggan boleh menikmati harga asal walaupun kenaikan tarif elektrik sudah berkuat kuasa. 

PRESMA turut berpendapat adalah tidak sesuai untuk menaikkan harga makanan dan minuman kerana bukan saja memberi kesan bukan saja kepada pengguna, tetapi pengusaha restoran kerana terpaksa berdepan dengan kerugian berikutan kehilangan pelanggan. 

“Kalau kami naikkan harga, sudah tentu akan membebankan pelanggan yang majoritinya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Apabila ini berlaku, mereka tidak lagi berkunjung ke restoran kami. 

“Sehubungan itu, kami sudah meminta ahli PRESMA supaya tidak menaikkan harga makanan dan minuman kerana bimbang ia hanya merugikan diri sendiri dan menjejaskan operasi perniagaan,” katanya kepada Berita Harian. 
Mulai Rabu lalu, tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri dinaikkan pada kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54 sen/kwj. 

Ia selaras keputusan kerajaan menyemak semula harga gas untuk sektor elektrik di Semenanjung daripada RM10.70/MMBtu (unit termal British) kepada RM13.70/MMBtu. 

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan kira-kira 75 peratus atau 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kwj sebulan atau kurang. Daripada jumlah pengguna domestik itu, 900,000 adalah golongan berpendapatan rendah manakala 200,000 lagi miskin tegar. 

Noorul Hassan berkata, keuntungan diperoleh pengusaha restoran bergantung kepada bilangan pelanggan dan jika jumlahnya berkurangan, sudah tentu akan memberi kesan kepada perniagaan mereka. 

“Perniagaan kami berbeza dengan pengusaha lain yang mungkin hanya memerlukan jumlah pelanggan tertentu untuk mencapai keuntungan atau terus beroperasi. Kami bergantung sepenuhnya kepada pelanggan yang ramai. 

“Sebab itu, kami cuba mengelakkan menaikkan harga makanan dan minuman bagi memastikan pelanggan terus datang ke restoran kami,” katanya. 

sumber: Berita Harian Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...