13.6.11

Sasar jual 600 kenderaan BMW

imej dari google


Ingress Auto yakin mampu capai berdasarkan prestasi suku pertama tahun ini 

INGRESS Auto Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ingress Corporation Bhd yang menjadi antara pengedar sah kenderaan BMW di negara ini menyasarkan menjual lebih 600 kenderaan mewah itu tahun ini.
Pengedar Prinsipalnya, Rabian Ab Rahman, berkata syarikat itu yang mula beroperasi pada Mac 2008 kini menyumbang kira-kira 13 peratus kepada jualan keseluruhan kenderaan BMW tahun lalu serta menjadi antara tiga syarikat pengedar BMW terbaik di negara ini.

Beliau berkata, pada tahun pertama, syarikatnya mampu menjual lebih 300 kenderaan sebelum meningkat kepada lebih 400 kenderaan pada 2009 dan kira-kira 550 kenderaan tahun lalu. 

“Selain penjualan kenderaan baru, lonjakan jualan syarikat pada tahun lalu banyak disumbang oleh penjualan kenderaan terpakai dari segmen BMW Premier Selection (BPS) yang mencatatkan jualan kira-kira 10 unit sebulan. 

“Berdasarkan prestasi jualan suku pertama tahun ini dan arah aliran terkini pasaran, saya percaya sasaran menjual lebih 600 kenderaan tahun ini mampu dicapai,” katanya ketika ditemui di Pusat 4S (Jualan, Perkhidmatan, Alat Ganti dan Sistem) Ingress Auto Mutiara Damansara di Kuala Lumpur, semalam. 

Selain itu, Rabian berkata, Ingress Auto yang mencatatkan pendapatan lebih RM200 juta tahun lalu serta menyumbang kira-kira 30 peratus kepada pendapatan kumpulannya turut mengunjur memperoleh pendapatan lebih baik tahun ini. 
“Kami mengunjurkan peningkatan pendapatan Ingress Auto sebanyak 2.6 peratus sejajar pengumuman Persatuan Automobil Malaysia (MAA) yang meramalkan jumlah sama untuk peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini. 

“Walaupun berdepan kenaikan kadar faedah, saya percaya ia hanyalah cabaran tambahan yang perlu dihadapi peniaga seperti kenaikan harga minyak sebelum ini yang nyata tidak memberikan sebarang kesan kepada jualan kenderaan,” katanya. 

Ingress Auto ketika ini menjual antara 40 dan 50 kereta BMW baru dan terpakai sebulan dengan BMW 3 dan 5 Series adalah jenis kenderaan paling popular. 

Sementara itu, Rabian berkata, Ingress Auto berbeza daripada yang lain kerana pihaknya menyediakan perkhidmatan pembelian dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik. 

“Industri perkhidmatan kini cukup mencabar. Matlamat Ingress Auto adalah untuk menjadi yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan. 

“Setakat ini, usaha kami mendapat pengiktirafan BMW apabila memenangi anugerah Terbaik Perkhidmatan Selepas Jualan pada 2008 dan memenangi anugerah Pengedar Terbaik pada 2009,” katanya sambil menambah syarikatnya memberi perkhidmatan antara 30 dan 40 kereta sehari. 

sumber: Berita Harian Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...