Iklan Nuff

14.9.11

Masyarakat perlu ubah tanggapan hapus tekanan


Peguam Syarie Menulis: Anak luar nikah bernasabkan bapa undang implikasi buruk
Oleh Roshdan Sujak Rafie
2011/09/14

PERKEMBANGAN dalam masyarakat membuka mata kita kepada pelbagai isu khususnya membabitkan hukum yang memerlukan penerangan jelas bagi mengelak kekeliruan hingga menjejaskan kehidupan umat Islam secara umum.
Antaranya, isu membabitkan status anak luar nikah yang dibangkitkan baru-baru ini dari sudut nasab untuk dibinkan kepada siapa, pihak yang berkewajipan menanggung anak itu, maruah anak luar nikah dan hak mereka.

Penggunaan nama Allah sebagai nama bapa dalam pengenalannya sudah mengetepikan tanggapan buruk masyarakat. Masyarakat harus memberi pertimbangan adil terhadap kedudukan anak tidak sah taraf bagi menghapuskan tekanan yang sering menghantui hidupnyaBolehkah anak tidak sah taraf didaftarkan dengan dinasabkan kepada bapa angkat atau pasangan ibunya (lelaki yang menghamilkan ibunya)? Adalah jelas hukum syarak tidak membenarkan anak tidak sah taraf dibinkan selain daripada ibunya.

Jika seseorang anak lahir tanpa ikatan perkahwinan sah antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya, maka anak berkenaan tidak boleh dibin atau dibintikan ke-pada bapa zina (kecuali persetubuhan syubhah). Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau nama Asma’ ul-Husna yang berpangkalkan Abdul.

Matlamat perundangan Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah. Justeru, dalam menjaga keturunan atau nasab seseorang itu maka anak luar nikah itu tidak boleh dinasabkan seperti anak yang lahir daripada pernikahan sah.

Walaupun ada cadangan supaya anak luar nikah dibinkan kepada pelaku lelaki sebagai bapa biologi, ia tidak akan menyelesaikan semua masalah berbangkit malah mungkin memberi kesan lebih buruk terutama dari sudut hukum syarak.
Jika perkara ini dibenarkan maka banyak implikasi akan berlaku membabitkan soal pewarisan, keturunan dan sebagainya.

Ada juga cadangan supaya undang-undang digubal bagi mewajibkan pelaku atau bapa biologi anak itu dipertanggungjawabkan untuk menanggung anak itu walaupun tiada perkahwinan yang sah. Dari sudut hukum syarak dan perundangan Islam, jelas nasab anak luar nikah ini semata-mata kepada ibunya.

Malah, tanggungan ke atas anak itu juga menjadi kewajipan ibunya. Bagaimanapun, satu mekanisme boleh dikaji supaya denda atau hukuman dikenakan kepada pelaku atau bapa biologi anak.

Denda atau pampasan itu boleh dijadikan sandaran bagi ibu untuk menanggung anak berkenaan. Ia juga boleh menjadi asas supaya pelaku atau bapa biologi turut menerima tanggungjawab atas perbuatannya.

Namun, ia perlu diperhalusi supaya tidak bertentangan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Langkah berkenaan boleh dilaksanakan dengan kesedaran diri pelaku atau bapa biologi kerana tanpa kerjasama pelaku, sukar bagi ibu mendapatkan hak untuk anaknya.

Cadangan supaya anak luar nikah dibinkan kepada bapa biologi untuk menjaga aib tidak boleh menyelesaikan masalah secara keseluruhan malah boleh menimbulkan implikasi lain. Apa yang penting, masyarakat tidak perlu memandang serong terhadap anak luar nikah kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan terhadap perlakuan ibu mereka.

Penggunaan nama Allah sebagai nama bapa dalam pengenalannya sudah mengetepikan tanggapan buruk masyarakat. Masyarakat harus memberi pertimbangan adil terhadap kedudukan anak tidak sah taraf bagi menghapuskan tekanan yang sering menghantui hidupnya.

Anak tidak sah taraf ini mempunyai hak yang sama dari sudut perundangan dan hukum syarak. Dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah.

Anak tidak sah taraf juga berhak untuk mendapat keistimewaan, faedah, kebajikan dan pendidikan serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Anak tidak sah taraf juga berhak terhadap pewarisan harta ibunya selain mempunyai hak sama dari sudut undang-undang termasuk menerima hibah, wasiat, pampasan atau membuat keputusan berkaitan haknya atau hak ibunya yang sudah meninggal.

Anak ini juga tidak terkecuali dalam melaksanakan muamalah seperti anak sah taraf. Apa yang penting, kesedaran perlu dipupuk bukan saja kepada anak tidak sah taraf, ibu atau bapa biologi semata-mata, tetapi meliputi masyarakat untuk menerima anak tidak sah taraf dalam kehidupan bermasyarakat.

Penulis adalah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

sumber : Berita Harian Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...