15.9.11

Ketua Hakim Negara angkat sumpah

Arifin Zakaria angkat sumpah jawatan Ketua Hakim Negara



TUANKU Mizan Zainal Abidin berkenan bergambar kenangan selepas istiadat menghadap dan pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya di Istana Negara, semalam. Turut sama dari kiri, Zulkefli Ahmad Makinudin, Abdul Ghani Patail, Mohamed Nazri Aziz, Najib Tun Razak, Arifin Zakaria, Mohd. Sidek Hassan, Md. Raus Sharif dan Richard Malanjum. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tan Sri Arifin Zakaria hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang bersara wajib pada 9 September lepas.

Arifin menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.

Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Hadir sama, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Hakim Besar Sabah & Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Selain Arifin, Tan Sri Md. Raus Sharif turut mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula dikurniakan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya. - BERNAMA


Diharapkan sistem keadilan negara kita terus tegak mengikut lunas undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan negara kita.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...