7.6.12

Amalan bulan Rejab dan persoalannya


Amalan Rejab: Palsu dan tulen
ABD RAZAK MUTHALIB
5 Jun 2012


Istighfar Rejab tidak bersumberkan al-Quran dan hadis. - Gambar hiasan

ALLAH SWT mengutus rasul dan menurunkan kitab serta disediakan batas arahan dan larangan kepada manusia. Inilah yang disebut sebagai syariat. Ini bertujuan supaya manusia mengabdikan diri dan mentauhidkan ALLAH SWT dalam semua keadaan dan tingkah lakunya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah Al-Zariyat : 56) Segala bentuk ibadah tidak akan diterima ALLAH melainkan ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan Rasulullah SAW. Ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak diterima ALLAH apatah lagi untuk diberi ganjaran.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi : 110) Imam Ibn Kathir (wafat 774 H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan: “Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat ALLAH, dan hanya kerana ALLAH (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya.

Inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada ALLAH dan menepati syariat yang dibawa Rasulullah SAW”. (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al- ‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).

Perlu ikut syariat Menjadi kebiasaan sebahagian umat Islam untuk menghidupkan bulan Rejab dengan amalan tertentu. Persoalannya, adakah amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunah Rasulullah untuk melayakkan amalan tersebut diterima?

Istighfar Rejab tidak bersumberkan al-Quran dan hadis. - Gambar hiasan Menyentuh persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah? Justeru, menjadi kewajipan ke atas Muslim untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara Rasulullah SAW.

Antara amalan pada Rejab yang tidak menepati sunnah Rasulullah SAW ialah:
1) Menghidupkan malam ke- 27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mikraj. Sememangnya peristiwa al- Isra’ wa al-Mi’raj adalah antara peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ia bukti kebesaran ALLAH SWT dan kebenaran Nabi Muhamad SAW serta risalah yang dibawa baginda.

Sebahagian umat Islam menyambut dan menghidupkan malam tersebut dengan amalan khusus dengan mengharapkan fadilat tertentu. Tetapi pendapat ini tidak tepat sepertimana yang disebut Syeikh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: “Malam ini (27 Rejab) yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al- Mi’raj, tidak ada satu hadis sahih pun yang menyebut mengenai tarikh peristiwa ini secara khusus. Di sisi ulama hadis, semua pendapat yang menyebut tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak benar daripada Rasulullah.

Kepada ALLAH jua diserahkan segala hikmah di sebalik kerahsiaan ini kepada manusia. Sekiranya terdapat hadis sahih yang menjelaskan tarikh peristiwa ini pun, kita tetap juga tidak dianjurkan untuk menghidupkan malam ini dengan amalan khusus. Tidak juga untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah dan Sahabat tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus.

Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi SAW akan menunjukkan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya.

Sekiranya amalan ini pernah dilakukan Baginda SAW, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan golongan Sahabat kepada kita”. (Rujuk: Abdullah bin Abd al- Aziz bin Baz, al-Tahzir min al- Bida’, cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).

2) Solat Raghaib Solat ini dilakukan berdasarkan kepada hadis maudu’ (palsu) yang diriwayatkan Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Rejab bulan ALLAH, Syaaban bulan ku, dan Ramadan bulan umat ku... Dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada Khamis yang pertama dalam Rejab kemudian melakukan solat antara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak 12 rakaat... - Hadis ini dimasukkan Ibn al-Jauzi, dalam kitabnya al- Maudhu‘at, jilid 2, m/s 124-125. Kemudian, Ibn al-Jauzi menyebut: “Hadis ini adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW. Di dalamnya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guru ku; Abd al-Wahab berkata: Golongan rawinya majhul (tidak dikenali) dan disemak mengenai peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui mengenai mereka”.

3) Berpuasa penuh Rejab Sebahagian umat Islam akan berpuasa penuh sepanjang Rejab dan menganggap ia mempunyai fadilat yang khusus. Tetapi malangnya, fadilat khas amalan ini tidak bersumberkan al-Quran atau hadis yang sahih. Bahkan ia diambil daripada hadis yang maudu’ (palsu).
1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan daripadariwayat Muhamad bin Abdul- Baqi daripada Abu Bakar Muhamad bin al-Hassan al- Naqqasy, daripada Abu Said RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rejab adalah bulan ALLAH, Syaaban bulan ku dan Ramadan bulan umat ku, maka siapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari ALLAH, maka dia wajib mendapat keredaan ALLAH Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al- Firdaus yang tertinggi... - Ibnu al-Jawzi menyatakan hadis ini adalah palsu.
2. Ibnu Shahin meriwayatkan daripada Ali RA daripada Harun bin ‘Antarah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan yang agung, maka sesiapa yang berpuasa sehari Rejab nescaya ALLAH menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun... - Menurut Ibnu ‘Arraq: Hadis ini adalah palsu tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadis. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menyentuh perkara ini berkata: “Tidak terdapat hadis yang boleh dijadikan hujah yang menyebut mengenai fadilat khusus Rejab, atau fadilat berpuasa (sepenuhnya) pada bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau enghidupkan malamnya yang khusus”. (Rujuk: Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).

Selain itu, terdapat amalan “Istighfar Rejab” yang disebutkan fadilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80,000 pahala Nabi.

Ada juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini kerana dianggap mempunyai fadilat yang khusus jika dilakukan. Demikian sebahagian amalan yang biasa dilakukan umat Islam dalam Rejab yang tidak bersumberkan daripada Rasulullah SAW. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan tersebut akan diterima oleh ALLAH dan mendapat ganjarannya? Atau ia tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja.

Semoga ALLAH SWT mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah sama-sama untuk membanteras kegiatan penyebaran hadis palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang dilakukan benarbenar menepati sunnah Rasulullah SAW dan diiringi dengan keikhlasan kepada ALLAH SWT.


*Penulis ialah pensyarah di International Islamic College (IIC).
- Sinar Harian

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...