Iklan Nuff

12.8.12

Bersama rebut kebaikan

 

Rebut kebaikan penghujung Ramadan
Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Sedar tak sedar, Ramadan ini memberi pelbagai bentuk latihan diri dan masyarakat, daripada mengawal emosi serta nafsu dengan kesabaran, membangunkan semangat berjemaah, menundukkan hati dengan memperbanyakkan sujud hingga membangunkan rasa prihatin dan kasih sayang.

Semua adalah usaha untuk melatih diri merebut peluang keemasan yang melimpah ruah dijanjikan Allah SWT dalam bulan ini yang mengatasi keistimewaannya daripada sebelas bulan yang lain.
Semangat berebut-rebut melakukan kebaikan untuk meraih balasan Allah SWT dengan rahmat-Nya, keampunan-Nya dan terhindar daripada seksaan api neraka menjadi penggerak kepada segala tindak tanduk dan hati budi yang baik.

Bersama rebut kebaikan

Firman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Profesor Dr Hamka dalam tafsir al-Azhar menyatakan, ayat ini menyeru untuk bersama merebut kebaikan, berjasa kepada kehidupan dan mengelakkan perbalahan berhubung kiblat. Ada dua aspek boleh dipelajari, selain galakan menumpukan amal kebaikan berbanding keburukan perbalahan, kita juga disuruh berebut melakukannya.

Apabila perkataan ‘rebutlah’ digunakan pada kebaikan, ia mengandungi unsur nilai yang hebat meliputi suruhan untuk bersegera, tidak berlengah-lengah, melakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati suci.

Peluang sama rata

Justeru, dalam Kitab Fath al-Bari, hadis diriwayatkan Imam Bukhari menyatakan Rasulullah SAW sentiasa mengerjakan kebajikan dengan tidak bertangguh dan lebih cepat daripada hembusan angin (pembawa rahmat).

Peluang yang Allah sediakan adalah sama rata kepada semua tanpa mengira bangsa, pangkat dan kedudukan serta membalasnya mengikut usaha masing-masing.

Firman-Nya: “Dan masing-masing individu memperoleh darjat (sesuai) dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah al-An’am, ayat 132)

Justeru, semangat berebut-rebut untuk melakukan kebaikan perlu terus dihayati dan disemarakkan khasnya apabila kita sudah berada di fasa terakhir Ramadan yang semakin luas rahmatnya. Malam-malam terakhirnya mengandungi satu malam lailatulqadar, lebih baik daripada seribu bulan.

Berada di penghujung Ramadan bererti tinggal sedikit saja peluang yang ada. Menyedari peluang berbaki ini sepatutnya menambahkan lagi semangat untuk ‘berebut’ melakukan yang terbaik sebelum Ramadan menutup tirainya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dia melakukan dengan tekun (memperbaiki dan mempertingkatkannya).” (Riwayat al-Baihaqi)

Jadi, tidak hairanlah mengapa sering diceritakan gambaran kesedihan nabi, sahabat dan salafussoleh apabila berada di penghujung Ramadan kerana bimbang jika tidak berpeluang berjumpa dengan kemuliaan Ramadan akan datang.

Semangat cintakan kebaikan

Walaupun segala keistimewaan dan keadaan berpuasa sudah sering diceritakan, namun satu perkara penting untuk disemat dan disuburkan secara berterusan selepas Ramadan ialah nilai diri yang kaya dengan semangat cintakan kebaikan supaya kita mencapai darjat insan bertakwa.

Justeru, marilah kita merebut peluang Ramadan yang ada dengan menggembleng kebaikan dalam apa juga bentuk dan munajat keampunan.

Menurut Imam al-Nawawi, dosa yang Allah ampunkan dalam Ramadan bagi mereka yang melaksanakan amal kebajikan itu adalah dosa kecil, jika tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa besar. Jika tiada dosa besar, ia dapat meninggikan darjat seseorang itu dalam syurga.

- Berita Harian

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...