22.8.12

Tips Aidifitri daripada Imam Muda 1

 

INTERAKSI: Aidilfitri rapatkan silaturahim

PEJAM CELIK, bagai tidak sedar yang Ramadan penuh manfaat sudah pun berakhir meninggalkan kita. Jika diberi rezeki dan peluang, akan kita ketemu lagi di tahun depan. Hakikatnya, terlalu lekas masa berlalu untuk sama-sama mengejar segala kebaikan dan keindahan bulan istimewa ini.

Kebetulan meraikan Syawal sekali lagi, juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan ingin berkongsi sedikit kemanisan hari raya pada pandangannya dan erti sebenar Syawal daripada perspektif agama.

Graduan jurusan Syariah dari Universiti Malaya ini bagaimanapun meneliti maksud dan pengertian Aidilfitri itu daripada perspektif peribadinya dan menjadikan kisah sendiri, situasi keluarga sebagai subjek untuknya berkongsi cerita.

Ikuti temubual khas bersama anak muda berusia 27 tahun juga kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang ini dalam menceritakan persepsinya terhadap Aidilfitri bersama wartawan RAP, MURSHID EUNOS (murshid@hmetro.com.my).

RAP: Bagaimana anda melihat Aidilfitri dan sambutannya di negara kita?

ASYRAF: Syawal adalah satu suasana atau perayaan yang mampu dilihat dari dua perspektif berbeza. Satunya sudut agama yang sudah tentu menjadi kewajipan dan keduanya pula dari pandangan peribadi sendiri.

Lantas menyentuh mengenai Aidilfitri dari sudut agama jelas menunjukkan yang ia adalah satu penghargaan dari Tuhan kepada umatnya selepas sebulan berjaya melawan nafsu dan godaan syaitan.

Alhamdulillah ia bagai satu hadiah yang dijanjikan kepada kita apabila sebulan menahan segala dugaan dan rasa haus lapar. Itulah amalan wajib yang kita lakukan dan datangnya Syawal sebagai ganjaran yang mana umat Islam akan bergembira meraikannya.

Namun lebih menariknya, Malaysia umumnya sudah mengangkat sambutan Aidilfitri dalam cara dan kaedah yang berbeza hingga menjadikannya seperti budaya yang terus menjadi ikutan hingga ke hari ini. Bagaimanapun ia disambut dengan satu budaya yang baik dan positif.

Mana tidaknya, Aidilfitri dijadikan satu tarikh yang paling sesuai untuk merapatkan silaturrahim sesama kita. Ia juga adalah bulan yang diangkat bagi bermaaf-maafan selain menziarahi sanak saudara.

Kiranya, jika tidak pulang ke kampung pada musim Syawal adalah satu perkara luar biasa. Begitu juga dengan menziarahi untuk bermaaf-maafan, semua orang ketika itu berpusu-pusu untuk beraya dan bertandang ke rumah saudara. Kalau bermaaf-maafan atau pergi menziarahi saudara pada bulan bukan raya, dikatakan tidak sesuai pula.

Semuanya digambarkan untuk bersalaman, bertanya khabar dan menghulurkan duit raya kepada mereka yang kecil.

Kelakarnya, ketika zaman Nabi dulu pun, tiada budaya seperti ini dilakukan kerana Nabi mengamalkan bermaaf-maafan dan menziarahi sahabatnya setiap hari dan tidak perlu menunggu datangnya Syawal.

Bagaimanapun ia adalah satu budaya yang indah dan menarik. Hingga berjaya menyatukan silaturahim. Namun itulah indahnya Syawal di Malaysia, penuh kebahagiaan dan elemen kasih sayang.

RAP: Adakah budaya dan adat sambutan Aidilfitri di Malaysia sesuatu yang tidak baik atau tidak wajar diteruskan?

ASYRAF: Tidak sama sekali kerana apa yang diamalkan di sini adalah satu budaya yang positif dan baik sekali. Syawal sudah dijenamakan sebagai satu bulan terbaik untuk menyatukan ramai komuniti Islam dan bermaaf-maafan.

Itulah kebaikan dan nilai positifnya berbanding budaya di negara lain. Bayangkan, semua Islam berbaju Melayu sibuk datang melawat sanak saudara, bertanya khabar kepada teman dan jiran yang mungkin tidak pernah disapa.

Malah ada juga yang bertukar-tukar juadah dan budaya itu mengundang unsur keharmonian untuk masyarakat khususnya serta merapatkan lagi hubungan sesama Islam.

Namun perlu diingat, meraikan kedatangan Syawal perlu berpada-pada dan jangan sesekali melakukan pembaziran hingga menyusahkan diri di kemudian hari pula. Bukan soal dosa atau khilaf, tapi kalau membeli-belah atau menyediakan persiapan tidak ingat dunia atau hari esok, nanti kemudiannya diri sendiri pula yang akan dibelit hutang.

RAP: Namun apa pula kekurangan atau masalah yang dapat anda lihat pada sambutan Aidilfitri zaman sekarang?

ASYRAF: Selain membazir atau sikap suka menunjuk, saya lihat satu virus atau penyakit yang menular pada masyarakat kita dalam menyambut Aidilfitri adalah sikap sambil lewa dan tidak langsung mengambil manfaat dari kedatangan Syawal itu.

Golongan muda terutamanya hari ini lebih gemar duduk di rumah menonton televisyen dan tidak langsung menghiraukan tetamu yang datang. Apabila lebih mengutamakan program TV, maka tiada situasi bersalaman, bertanya khabar atau duduk bermaaf-maafan dengan sanak saudara yang datang.

Banyak berlaku ketika ini dan ada antaranya terjadi di depan mata sendiri yang mana situasi itu sungguh tidak sihat dan hanya mencacatkan lagi sambutan Syawal yang penuh meriah.

Mengapa harus menjadi seorang yang tidak gemar bergaul sedangkan ia hanya setahun sekali. Kemudian lebih kepada duduk terperap di dalam bilik tidak mahu bertemu tetamu yang datang sedangkan itu saja peluang yang ada untuk bertemu sanak saudara.

Anak muda hari ini juga tidak pandai untuk bercampur dengan mereka yang lebih dewasa. Maklumlah perubahan zaman membuatkan banyak yang berubah kerana jika dulu orang muda pun boleh duduk semeja bertanya khabar dengan mereka yang jauh lebih dewasa hanya dengan sama menghisap rokok daun.

Kini tidak lagi dan lebih kronik apabila yang muda juga tidak pandai bercampur sama dengan mereka yang seusia.

Justeru saya fikirkan ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memperkenalkan mereka kepada saudara atau merapatkan hubungan itu agar tidak terputus akan datang.

Interaksi itu adalah sangat penting untuk dipupuk pada mereka dan jika perlu ada paksaan, lakukannya untuk kebaikan.

RAP: Bagaimana dengan sambutan Aidilfitri anda?

ASYRAF: Tiada apa bezanya cuma selepas beristeri dan mempunyai anak, keutamaan itu diberikan kepada keluarga dulu. Membeli-belah atau melakukan persiapan untuk raya juga saya lebih memikirkan kepada anak, Muhammad Aisy Raihan yang kini sudah berusia lapan bulan.

Tahun ini saya akan pulang ke Pulau Pinang hingga raya keempat. Kemudiannya raya kelima, saya akan ke Perak untuk menziarahi saudara-mara yang lain.

Apapun, saya seorang yang begitu mengutamakan keluarga. Jika ada teman atau kawan di kampung yang ingin beraya ke rumah atau ajak meronda, saya lebih selesa untuk menziarahi rumah keluarga terlebih dulu.

Raya pertama di rumah sebelah ayah dan keduanya pula di sebelah rumah ibu. Habiskan semua saudara-mara dan barulah bertandang ke rumah teman-teman pula.

Unik dan menariknya, keluarga saya besar dan meriah. Justeru sejak arwah datuk meninggal kira-kira lima tahun lalu, saya bersama saudara yang lain mewujudkan satu majlis perjumpaan beramai-ramai yang akan diadakan setiap kali Syawal.

Kami akan melantik jawatankuasa di kalangan kami dan semuanya diuruskan mengikut tugasan masing-masing. Memang menarik kerana kami akan menganjurkan bermacam-macam aktiviti seperti sukaneka, bermain teka-teki dan lain-lain lagi.

Ini adalah satu alternatif dan usaha yang kami sekeluarga lakukan untuk memastikan silaturahim itu kekal ada dan persefahaman antara kesemuanya ada dan tidak sekali pudar.

Tahun lepas kami lakukan di rumah saudara di Kedah dan tahun ini kami memilih untuk mengadakan perjumpaan itu di sebuah rumah tumpangan atau pusat peranginan yang lebih luas untuk memudahkan kami berkumpul beramai-ramai.

Insya-Allah raya keempat itu kami akan berkumpul di sana dan kemudiannya saya perlu terus pulang ke Kuala Lumpur kerana terikat dengan komitmen program Selamat Pagi Malaysia pada raya kelima nanti.

RAP: Perancangan atau niat tahun ini?

ASYRAF: Setiap tahun pula saya akan terbabit pada pagi raya untuk menjadi imam sembahyang Aidilfitri dan mengetuai khutbah. Itu adalah rutin saya setiap tahun namun ia satu pengalaman yang cukup manis dan memberikan saya ketenangan.

Bagaimanapun kali ini saya sudah lebih awal ingin berehat sebentar dan ingin menjadi makmum pula yang mendengar khutbah daripada orang lain. Bukan malas atau tidak mahu sebaliknya saya ingin pula melihat bagaimana cara orang lain pula memberikan khutbah.

Indahnya rasa mendengar cerita dari orang lain pula.

Soal makan tiada apa yang wajib buat saya, cuma makanan kegemaran saya adalah pulut tetai, sejenis pulut yang dibuat seperti nasi himpit dan kemudiannya dimakan dengan kuah gula manis.

- myMetro

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...