Iklan Nuff

6.12.12

Akta perbankan Islam dan Takaful baharu

Akta perbankan Islam dan Takaful berkuatkuasa tahun depan
6 Disember 2012


Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

JOHOR BAHRU - Akta perbankan Islam dan Takaful baharu yang sedang melalui proses perundangan ke arah menjadikannya satu enakmen, akan berkuat kuasa tahun depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Ia telah pun dibentangkan bagi bacaan pertama dan kedua di Parlimen, katanya, sambil menambah bahawa ia akan diberi nama Akta Perkhidmatan Kewangan Islam dan Akta Kewangan Islam dan Takaful.

"Buat masa ini industri ini tertakluk kepada Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam yang akan beroperasi ... kita jangkakan tahun depan," katanya kepada pemberita pada waktu sisi hari terakhir Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelapan, di sini hari ini.

Sebelum itu, dalam ucaptamanya, Zeti berkata rangka kerja undang-undang baharu itu bukan sahaja akan memperkemas keperluan perundangan dalam semua sektor malah juga akan memastikan undang-undang itu mencerminkan sifat dan ciri kontrak syariah.

Ia juga akan memastikan bahawa tahap kawal selia setimpal dengan tahap risiko yang timbul daripada institusi kewangan, pasaran dan produk Islam terhadap keseluruhan sistem kewangan, kata Zeti.

"Kefahaman yang lebih jelas tentang syarat dari sudut undang-undang dan berhemah, disokong pula oleh prinsip Islam akan membolehkan peserta sistem kewangan Islam menyelaraskan amalan dan harapan mereka sewajarnya apabila menjalankan perniagaan dan transaksi kewangan," katanya.

Zeti berkata meskipun pengamal dan sarjana kewangan Islam membuat kesimpulan daripada sumber fiqah muamalat untuk mewujudkan instrumen baharu dan inovatif, namun rangka kerja undang-undang perlu diperkukuhkan lagi untuk memastikan ia sejajar dengan perkembangan baharu dalam pasaran.

Ini untuk memastikan ia terus menjadikan produk inovatif dan transaksi kewangan terjamin dan boleh diramalkan, katanya.

Selain itu, apabila kegiatan kewangan Islam merentas sempadan negara, pembangunan rangka kerja undang-undang yang mempermudah transaksi rentas sempadan amat penting, tegas beliau. - Bernama

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...