Iklan Nuff

17.12.12

Bahayanya dengkur




Kuat dengkur isyarat bahaya
Oleh NORAINON OTHMAN

TIDAK dinafikan, berdengkur memang mengganggu tidur dan ketenangan orang lain tetapi kadang kala ia melucukan terutama apabila ia berirama serta bersahut-sahutan antara lebih seorang kaki dengkur. Situasi itu boleh kita lihat jikalau dalam perjalanan jauh menaiki bas, kereta api mahupun kapal terbang.

Walaupun ia dianggap perkara lumrah terutama di kalangan lelaki, masalah itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana jika berlarutan, ia petanda seseorang itu terdedah penyakit berbahaya seperti darah tinggi, sakit jantung dan diabetes.


Berdengkur menyebabkan seseorang itu tidak lena tidur malam dan sering berjaga pada waktu malam kerana pernafasan tersekat. Akibatnya, individu terbabit keletihan sehingga sanggup mengorbankan waktu makan tengah hari semata-mata untuk membayar ‘hutang tidur’.

Perunding Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Peru- batan Taman Desa, Dr Khairuzzana Baharudin, berkata berdengkur adalah satu gejala dan jika semakin teruk boleh membawa masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu laluan udara dari hidung dan mulut tersekat.

Bagi kanak-kanak, dengkuran disebabkan hidung tersumbat atau alahan, bengkak pada tonsil dan adenoid (daging berlebihan seperti tonsil di belakang hidung).

Masalah menjadi lebih teruk jika terdapat masalah jangkitan kuman di hidung dan tekak seperti selesema. Ada juga kanak-kanak yang berdengkur sejak dilahirkan kerana peti suaranya belum matang. Bagi orang dewasa, berdengkur terjadi disebabkan masalah di hidung.


FAKTOR PENYEBAB

- Alahan
- Tulang hidung yang bengkok
- Masalah tisu berlebihan di anak tekak
- Obes
- Alkohol
- Kesan pengambilan ubat yang boleh membuatkan seseorang tertidur
- Kedudukan tidur yang terlentang
- Tonsil yang bengkak


LANGKAH PENCEGAHAN

- Jaga berat badan dengan mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang 22
- Tidur mengiring
- Berhenti merokok
- Jauhi minuman beralkohol
- Ubat tidur


RAWATAN

Diagnosis - lakukan skor untuk mengetahui tahap dengkur.

Masukkan kamera dari hidung ke peti suara untuk melihat tahap serius dengkuran pesakit.

Hantar pesakit ‘sleep study’ - ada mesin yang mengesan dengkuran ketika pesakit tidur. Ia mengesan pergerakan tangan, kaki dan oksigen di dalam badan dan gelombang otak sewaktu tidur.

Bersandarkan keputusan ‘sleep study’, doktor boleh mengetahuikan sama ada pesakit mengalami masalah OSA atau ‘central’. Jika masalah itu berpunca daripada central (paru-paru atau otak), pesakit tidak boleh dibedah.

Pembedahan dilakukan bergantung kepada punca yang menyebabkan dengkuran. Terdapat sejenis mesin yang membantu membekalkan oksigen untuk mereka yang obes atau tidak mahu menyelesaikan masalah itu menerusi pembedahan.

Antara pembedahan dilakukan ialah ‘pillar implant’ iaitu bagi meluaskan sedikit ruang di antara lelangit dan lidah, pembedahan tonsil, pembedahan ke atas lelangit atau pembedahan hidung seperti septoplasty untuk meluruskan tulang hidung.

Menurut Dr Khairuzzana, mereka yang berdengkur mengalami kering tekak apabila bangun tidur disebabkan bernafas daripada mulut. Mereka juga mudah tertidur pada waktu siang dan dada mudah berdebar-debar dan cepat marah kerana letih.

Masalah berdengkur boleh membawa kepada kemalangan kerana orang berdengkur tidak mendapat tidur berkualiti. Ketika memandu, mereka mudah terlelap terutama ketika berhenti di lampu isyarat.

Ia turut menjejaskan hubungan kelamin suami isteri berikutan salah seseorang mudah penat padah tiada tidur yang berkualiti. Ada juga yang mengambil keputusan tidur berasingan kerana tidak tahan mendengar bunyi dengkuran pasangannya.

Sementara itu, sering mengantuk dialami pesakit boleh menjejaskan kerja di pejabat manakala pelajar tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas.

Epworth Sleepiness Scale (ESS) dilakukan untuk mengukur mengantuk waktu siang menggunakan soal selidik. Ini boleh membantu dalam mendiagnosis gangguan tidur. Skor dibahagikan kepada 0 (tidak tidur), 1 (ada kemungkinan akan tertidur), 2 (mudah tertidur) dan 3 (kemungkinan besar akan tertidur).

Skor keadaan berikut:

1) Ketika duduk dan membaca.
2) Ketika menonton televisyen.
3) Duduk bersahaja di tempat awam.
4) Duduk sebagai penumpang kereta tanpa berhenti.
5) Baring berehat pada waktu tengah hari.
6) Duduk dan bercakap dengan seseorang.
7) Duduk berseorangan selepas makan tengah hari tanpa pengambilan alkohol.
8) Di dalam kereta, berhenti selama beberapa minit ketika kesesakan lalu lintas.

Sekiranya skor berkenaan melebihi sembilan, seseorang itu dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Ini kerana, bagi orang yang normal, jumlah skor akan kurang daripada lapan manakala kadar sewajarnya ialah enam.

sumber : myMetro

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...