27.12.12

Mangsa banjir makin meningkat

Keadaan mangsa banjir di tempat pemindahan. (Imej: Google)

Situasi malam: Mangsa banjir Terengganu, Kelantan terus meningkat
26 Disember 2012

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah buruk dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan di kedua-dua negeri
pantai timur itu meningkat malam ini.

Jumlah keseluruhan mangsa di Terengganu, Kelantan dan Pahang ialah 19,958 orang malam iniberbanding 17,443 petang tadi.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), banjir di Terengganu adalah yang paling buruk apabila mangsanya meningkat kepada 11,489 orang malam ini berbanding 10,412 petang tadi.

Sebanyak 147 pusat pemindahan dibuka di tujuh daerah di negeri itu iaitu di Besut, Setiu, Kemaman, Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Laman portal MKN juga melaporkan empat jalan ditutup di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu, dari Kampung Dendang ke Jerangau/Jabor dan Jalan Sungai Ular ke Atfa Cottage (Bulatan Jabor) serta masing-masing satu di daerah Kemaman dari Jalan Sungai Ular ke Cherating dan daerah Dungun dari Jalan Bukit Besi ke Dungun.

Setakat ini, banjir di Terengganu meragut dua nyawa iaitu seorang wanita Samhanim Ramli, 36, yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Lanjut di
Jambatan Permaisuri, Setiu semalam dan terbaru, seorang remaja Mohd Hamidi Abdul Hamid, 15, yang lemas ketika bermain air di kawasan perumahan Bukit Mentok pada 2 petang.

Di PAHANG, mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 1,712 malam ini berbanding 2,473 petang tadi.

Sebanyak sembilan pusat pemindahan dibuka di negeri itu di mana lapan daripadanya di daerah Kuantan dan satu di Pekan.

Dua jalan ditutup di Daerah Kuantan di KM 16 Sungai Riau, Sungai Lembing dan KM 18 Jalan Kuantan selepas Balai Bomba Gebeng.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tujuh jajahan di Kelantan terus bertambah malam ini dengan merekodkan jumlah seramai 6,757 orang berbanding 4,513 petang tadi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, Pasir Mas masih mencatatkan jumlah teramai yang dipindahkan berikutan limpahan Sungai Golok yang masih mencecah paras bahaya.

Mangsa yang dipindahkan di Pasir Mas sehingga 9 malam ini adalah seramai 4,226 orang, Tumpat (1,540), Kuala Krai (269), Tanah Merah (243), Pasir
Puteh (239), Kota Bharu (231) dan Machang (9).

Kesemua mereka membabitkan seramai 2,152 buah keluarga yang ditempatkan di 34 buah pusat pemindahan sementara.

Selain Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih mencecah paras bahaya itu, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah juga masih di paras bahaya.

Namun keadaan cuaca yang baik hari ini menyebabkan paras air sungai tersebut termasuk sungai utama yang lain susut sedikit demi sedikit.

Setakat ini, tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan kecuali zon bebas cukai Rantau Panjang yang hanya boleh dilalui pacuan empat roda atau kenderaan berat sahaja.

Keadaan cuaca malam ini kembali hujan renyai-renyai.

Esok, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual meninjau keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu. 

- Bernama

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...