Iklan Nuff

25.12.12

Banjir semakin buruk di Pantai Timur

Gambaran banjir. (Imej : klexpress)

Lebih 6,000 mangsa banjir dipindah di Pantai Timur

25 Disember 2012

Kira-kira 2,000 pelajar termasuk kakitangan Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota di Kota Bharu tidak dapat meneruskan aktiviti mereka seperti biasa selepas kawasan tersebut

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin buruk pagi ini dengan lebih 6,000 mangsa dipindahkan.

Sebanyak 2,594 mangsa kini berada di pusat pemindahan di Terengganu berbanding 1,301 malam tadi, manakala 1,963 mangsa dipindahkan di Kelantan berbanding kira-kira 1,000 semalam, menurut portal rasmi kerajaan negeri masing-masing.

Di Pahang, menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, 1,743 mangsa banjir dicatatkan berbanding 915 semalam, manakala mangsa banjir di Johor pagi ini kekal 16 orang.

Di Kelantan, jajahan Kuala Krai menyaksikan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu 907, diikuti Tanah Merah (314), Kota Baharu (295), Pasir Puteh (225), Pasir Mas (116), Machang (100) dan Tumpat (enam).

Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan di Rantau Panjang kini masih melepasi paras bahaya walaupun dilaporkan susut sedikit berikutan tiada hujan sejak malam tadi.

Bacaan di sungai-sungai utama lain bagaimanapun masih bertahan di paras amaran.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada laporan kemalangan jiwa setakat ini. Cuaca di Kelantan ketika ini mendung.

Di Terengganu, mangsa paling ramai dipindahkan ialah di daerah Besut melibatkan 1,096 orang diikuti Setiu (461), Dungun (317), Kemaman (251), Marang (224), Hulu Terengganu (154) dan Kuala Terengganu (91).

Kemaman merupakan daerah terakhir mengalami banjir petang semalam berikutan kawasan rendah dinaiki air.

Sebanyak 52 pusat pemindahan banjir kini dibuka di seluruh Terengganu.

Sementara itu, jalan dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu di Kilometer 78.5 berdekatan Kampung Guntong Luar di Setiu ditutup kepada kenderaan ringan selepas ditenggelami air sedalam 0.3 meter (m).

Laluan sepanjang dua kilometer di Kilometer 68.1 hingga 70.1 Bandar Permaisuri pula ditenggelami air sedalam 0.35m juga ditutup kepada kenderaan ringan.

Jalan Jerangau-Jabor di hadapan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi, Dungun ditutup kepada semua kenderaan selepas ditenggelami air
sedalam 0.6m.

Di BESUT, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah A.Rahim Jusoh berkata khabar angin bahawa Ampangan Paya Beda di Hulu Besut pecah adalah tidak benar.

Beliau meminta orang ramai tidak cemas dengan khabar angin itu kerana apa yang terjadi hanyalah limpahan air dari ampangan itu ke kampung-kampungberdekatan dan keadaan kini adalah terkawal.

A.Rahim yang juga Pegawai Daerah Besut berkata banjir yang melanda kawasan Hulu Besut dianggap luar biasa selepas ia membabitkan Kampung Gong Duek Darau, Tanjung Alir, Kampung Lubok Kawah dan Balik Bukit, yang sebelum ini belum pernah dinaiki air.

Beberapa kampung di Hulu Besut mula dilanda banjir lewat petang semalam menyebabkan lapan buah sekolah termasuk sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) dinaiki air antara 0.5 hingga 2.5 meter.

Sekolah yang dinaiki air ialah SMK Putra, Sekolah Kebangaan (SK) Pasir Akar, SK Darau, SK Alor Keladi, SK Pusat Jerteh, SK Kampung Nangka, SK Bukit Jerok dan SK Kampung Baru Tok Dor 

- Bernama

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...