23.12.12

Hyundai Veloster

Sekadar gambar hiasan. (Imej : Google)

Coupe tiga pintu
Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN



HYUNDAI benar-benar berdiri atas kata-kata "New Thinking. New Possibilities.” Produk-produk baharunya benar-benar lari daripada imej bosan dan kereta murah seperti sebelum ini.

Kini, Hyundai boleh dikatakan sebagai kuasa baharu dalam pasaran penting dunia seperti Amerika Utara dan Eropah. Pengguna sudah tidak lagi teragak-agak untuk menjadikan Hyundai sebagai jenama alternatif kepada kereta buatan Jepun mahupun Eropah.

Hyundai menunggu agak lama untuk tiba di statusnya sekarang. Kini, jenama dari Korea Selatan itu tidak lagi menoleh ke belakang. Setiap produknya ditunggu ramai dan mendapat rebiu meluas di seluruh dunia. Sebenarnya, kejayaan Hyundai banyak disumbang oleh reka bentuknya yang tidak konvensional. Ditambah dengan senarai ciri yang tidak memerlukan pembeli membayar pada harga premium.

Tahun lalu, Hyundai sekali lagi membuat kejutan pada Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS 2011). Di sana, sebuah model coupe tiga pintu dipersembahkan kepada dunia buat kali pertama.

Veloster. Ia dibina atas inspirasi model konsep asal yang dipertontonkan kepada umum pada Seoul Motor Show 2007. Seperti biasa, rekaan luarannya berpaksikan kepada bahasa rekaan fluidic sculpture yang memberi penekanan kepada aspek garis tubuh, aerodinamik, dinamik dan dramatik.

Pakej lengkap


RUANG kabin Veloster menampilkan rekaan yang sporty, moden dan futuristik.

Jentera itu membezakan dirinya daripada coupe konvensional menerusi konfigurasi tiga pintu yang unik. Sekali pandang, macam tidak ada pintu kerana hendalnya disorok bagi mengekalkan reka bentuk coupe yang sporty. Pintu itu sememangnya praktikal dan mudah digunakan untuk tujuan keluar masuk ke ruang tempat duduk belakang.

Perlu tahu juga bahawa pasukan jurutera Hyundai sanggup berhabis tenaga dan masa untuk menghasilkan struktur yang sesuai untuk pemanduan sebelah kiri atau kanan. Maksudnya, jika ia untuk pasaran Amerika Syarikat (pemanduan sebelah kiri) pintu belakang tersebut tetap berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang, begitulah sebaliknya.

“Veloster membuktikan evolusi yang dialami oleh jenama Hyundai di pasaran Eropah. Model ini datang dalam satu pakej lengkap meliputi aspek kualiti, keselamatan dan kecekapan,” kata Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Hyundai Motor Europe, Allan Rushforth.

Veloster menjengah pasaran tempatan apabila ia dilancarkan secara rasmi oleh pengedar kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada 30 November lalu.

“Veloster adalah konsep yang benar-benar inovatif. Ia menggabungkan reka bentuk sporty dengan praktikaliti dan kemudahan. Coupe ini menampilkan rekaan pintu 1 + 2 yang revolusionari, sambil memiliki aspek aerodinamik yang berasaskan kepada konsep reka bentuk fluidic sculpture,” kata Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun.

Coupe itu ditawarkan pada harga bermula RM116,888 (di atas jalan), bergantung kepada varian yang dipilih. HSDM berharap Veloster akan mendapat sambutan hangat di sini, sebagaimana respon yang diterimanya di seluruh dunia.

Sejak dilancarkan pada 2011, hampir 120,000 unit Veloster berjaya dijual. Ia juga memperoleh banyak pengiktirafan terutama di AS dan Kanada.

Di pasaran Eropah, Veloster didatangkan dengan unit enjin petrol GDI yang mampu menghasilkan kuasa 140PS. Enjin itu bagaimanapun tidak dipasang pada Veloster yang dijual di sini. Sebaliknya ia digantikan oleh unit enjin Gamma MPI bersesaran 1.6 liter berkuasa 132PS dan tork maksimum 158Nm.

Enjin dengan sistem DVVT dan DOHC itu turut memiliki fungsi Mechanical Lash Adjuster (MLA). MLA berperanan mengurangkan geseran injap. Sekali gus membuatkan enjin tahan lebih lama, menjimatkan dan tidak bising.


FASCIA tengah papan pemuka diisi dengan sistem audio bersama skrin sentuh yang dipadankan bersama empat unit pembesar suara dan dua tweeter.

Transmisi klac berkembar

Sebagai model yang dilihat mampu meningkatkan imej Hyundai, Veloster didatangkan dengan teknologi terbaik termasuklah transmisi klac berkembar enam kelajuan automatik. Ia merupakan transmisi pertama seumpamanya yang dibina oleh Hyundai.

Transmisi tersebut dikatakan lebih cekap dan ringan, demi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api serta merendahkan pengeluaran emisi.

Tahu tentang masih ada segelintir pemandu yang mahukan transmisi manual, HSDM ada menawarkan varian tersebut. Jadi, selepas ini jangan lagi merungut tiada varian manual untuk memenuhi selera pemanduan anda.

Pemanduan mantap Veloster disumbang oleh talaan suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson, pegas gegelung, penyerap hentak gas dan bar penstabil bersaiz 24 milimeter (mm) untuk roda hadapan.

Suspensi belakang pula terdiri daripada jenis torsion beam V yang ringan. Kolaborasi sistem suspensi itu menawarkan pengendalian meyakinkan dan mengurangkan olengan tubuh kenderaan.

Kalau berminat, Veloster hadir dalam tiga varian iaitu 1.6 liter bertransmisi manual, automatik dan Premium. Varian Premium dibezakan menerusi bumbung panoramik, lampu utama jenis reflector dengan butiran LED, kamera mengundur, tempat duduk dibalut kulit dan banyak lagi.

Jika anda memilih varian Premium, ia juga hadir dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang warnanya sama dengan warna badan kereta.

Ruang kokpit Veloster menekankan aspek sporty. Warna hitam mendominasi ruang tersebut bersama rekaan papan pemuka dan konsol tengah yang kemas. Butang penghidup enjin diletakkan di tengah-tengah konsol. Di atasnya, terletak sistem audio dengan skrin sentuh dan butang kawalan pendingin hawa.

BUTANG penghidup enjin yang berubah warna latar mengikut mode OFF, ACC atau ON.

Apa yang pasti, Veloster bukan coupe biasa. Ia membuktikan kesungguhan Hyundai untuk berdiri sama tinggi dengan pembuat kenderaan berpengaruh yang lain. Oh ya, Veloster kini sudah boleh dipandu uji dan dilihat secara dekat di semua bilik pameran Hyundai di seluruh negara!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm#ixzz2FrIC2000

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...