Iklan Nuff

23.12.12

Buku Renungan Buat Pencinta Syurga

Renungan Buat Pecinta Syurga: Bertunang Bukan Lesen Hubungan Bebas
MOHD SHAHRIZAL NASIR

Renungan Buat Pencinta Syurga Oleh Mohd Shahrizal Nasir

KHITBAH merupakan istilah dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘peminangan’. Proses peminangan boleh dikira sebagai satu langkah awal sebelum bermulanya kehidupan berumah tangga yang dihalalkan melalui akad nikah.

Hukum meminang seseorang wanita untuk tujuan pernikahan adalah harus. Namun menurut pendapat Imam al-Syafie yang termuat dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj,beliau menyatakan hukumnya adalah al-istihbab (sunat) iaitu sesuatu yang dianjurkan oleh Islam untuk mengadakannya.

Pendapat ini jelas menunjukkan bahawa terdapat kebaikan besar yang boleh diperolehi daripada proses peminangan dengan syarat ia dilakukan menurut panduan syarak.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ada menjelaskan dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah bahawa proses peminangan membawa makna menzahirkan hajat seseorang lelaki untuk berkahwin dengan wanita pilihannya.

Peminangan juga menandakan berlakunya satu proses perkenalan antara bakal pasangan suami isteri tersebut. Keadaan ini dikira wajar kerana ibu bapa kedua-dua belah pihak telah mengetahui hubungan anak-anak mereka.

Inilah ketetapan Islam yang mengutamakan ibu bapa dan restu mereka dalam hubungan antara bakal suami isteri. Perkara ini berbeza dengan situasi yang berlaku pada hari ini. Lelaki dan perempuan dilihat bebas ke mana-mana tanpa ada sebarang ikatan yang sah. Malah, tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Dalam adat masyarakat Melayu, selain peminangan, ada satu lagi tahap yang dinamakan pertunangan. Semasa peminangan dilakukan, biasanya ibu bapa wanita tersebut tidak akan memberi jawapan muktamad kepada pihak yang datang meminang.

Ini kerana mengikut adat, mereka diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil ‘bertangguh’. Ia bertujuan bagi mencari kesepakatan dengan ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka sudah bersedia untuk menerima pinangan tersebut.

Setelah peminangan diterima, penghantaran tanda daripada wakil lelaki kepada pihak wanita yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui majlis bertunang. Majlis ini membawa pengertian bahawa wanita tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang.

Dari sini jelas menunjukkan terdapat perbezaan antara peminangan dan pertunangan dalam adat Melayu. Namun, apa yang penting ialah adat ini tidak sampai membeban dan merumitkan kedua-kedua belah pihak.

Selagi tidak bercanggah dengan ketetapan syarak, maka harus untuk dipratikkan. Sebagai umat yang bijak, kita harus tahu menilai keutamaan sesuatu perkara yang merupakan gesaan atau saranan daripada agama Islam sendiri. Perkara yamg termasuk dalam ketepatan agama mesti menjadi keutamaan berbanding perkara-perkara yang tiada asas dalam agama walaupun ia menjadi asas sesuatu adat setempat.

Penting diingatkan bahawa ikatan pertunangan bukanlah lesen kepada pasangan lelaki dan wanita untuk berbuat apa sahaja yang dihalalkan seperti mana suami isteri yang sah. Malah, pertemuan kedua-duanya secara bebas boleh menyebabkan ikatan pertunangan tidak mendapat keberkatan daripada ALLAH. Lebih parah lagi apabila ikatan pertunangan itu membawa kepada berlakunya perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH, na‘uzubillah min zalik.

Dewasa ini, ramai di kalangan anak muda tidak mengambil berat tentang batasan hubungan antara bukan mahram (dibolehkan untuk berkahwin oleh syarak). Mereka menggunakan alasan ‘telah bertunang’ sebagai tiket untuk melayani tuntutan nafsu yang gagal dibendung oleh iman.

Berdua-duaan secara bebas serta berpegangan tangan tanpa rasa segan silu adalah antara perkara yang diharamkan oleh Islam secara total tanpa ada sebarang kompromi.

Dalam kitab Fiqh al-Sunnah karangan Sayyid al-Sabiq, beliau ada menukilkan sebuah hadis Rasulullah tentang batasan hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram:

Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (orang yang diharamkan nikah dengannya). Maka, sesungguhnya orang ketiga (yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah) syaitan. - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Umat Islam dilarang sama sekali untuk menghampiri perkara-perkara yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan. Telah jelas bahawa Islam mengharamkan perbuatan zina. Bahkan, menghampiri perkara yang hampir kepada zina juga hukumnya haram. Firman ALLAH di dalam al-Quran:

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya ia (zina) itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. - Surah al-Isra’ : 32

Perlu diingat bahawa syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk menjadikan manusia sebagai temannya di neraka kelak. Oleh itu, sebarang kelompongan yang boleh dimanfaatkan oleh syaitan harus ditutup serapat-rapatnya. Kelompongan ini hanya mampu disedari oleh individu muslim yang benar-benar faham tentang perkara yang diperintah dan dilarang oleh ALLAH kepada sekalian hamba-NYA.

Kembali kepada persoalan peminangan menurut Islam. Terdapat beberapa cara peminangan yang dikira menepati tuntutan Islam. Berikut dinyatakan cara peminangan yang diharuskan oleh syarak:



• Seorang lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang wanita secara langsung.

• Seorang lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali wanita tersebut.

• Menggunakan pihak ketiga untuk meminang seorang wanita.

• Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki yang soleh.

• Seorang wanita menawarkan dirinya sendiri kepada lelaki yang soleh.



Berdasarkan lima cara ini, ia tidak sesekali memberi maksud bahawa proses peminangan boleh dilakukan sesuka hati. Keizinan daripada kedua-dua orang tua tetap diperlukan kerana perkara inilah yang menjamin kelancaran proses perkahwinan, seterusnya mencurahkan keberkatan ALLAH dalam kehidupan berumah tangga kelak.

Nasihat daripada kedua ibu bapa selaku orang yang lebih tua harus dipandang berat dan penting. Ini kerana, sikap terburu-buru para remaja dalam membuat keputusan, ditambah dengan kekurangan pengalaman hidup serta pengetahuan agama yang cetek akan menyebabkan tujuan murni daripada peminangan dan pertunangan itu tidak tercapai seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.

Terdapat beberapa situasi yang menjadikan proses peminangan itu termasuk dalam perkara yang haram. Perkara ini harus diberi perhatian serius bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku dalam kehidupan rumah tangga nanti.

Keadaan pertama ialah apabila seseorang wanita itu sebenarnya masih sah sebagai isteri orang. Kita diharamkan untuk mengambil atau merampas hak orang lain kerana perkara ini menyuburkan bibit persengketaan sesama muslim. Apabila seseorang muslim bercakaran dengan saudara seagamanya sendiri, maka ia mampu untuk memecahbelahkan umat Islam secara keseluruhannya.

Hal ini juga berkaitan dengan nasab keturunan. Keturunan yang bercampur baur akan menyebabkan berlaku banyak masalah dalam institusi kekeluargaan.

Seperti mana yang sedia dimaklumi, Islam amat prihatin dan menjaga nasab keturunan umatnya. Oleh sebab itu, mengahwini perempuan yang masih sah menjadi hak milik orang lain adalah haram sama sekali.

Selain itu, diharamkan juga meminang wanita yang dalam talak raj‘i kerana bekas suami berhak untuk kembali rujuk kepada isterinya. Hak suami yang boleh rujuk semula dengan isterinya tidak boleh dinafikan. Oleh itu, tempoh idah talak perlu dihormati. Firman ALLAH di dalam surah al-Baqarah:

Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka, jika mereka (suami-suami) bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan dalam pada itu orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan ke atas orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), ALLAH Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. - Surah al-Baqarah : 228

Keadaan lain yang membawa hukum haram dalam proses peminangan ialah apabila seseorang wanita itu telah dipinang oleh lelaki lain dan pinangannya telah diterima. Sekiranya lelaki kedua bernikah dengan wanita tersebut, akad pernikahan tersebut sah. Namun, dia tetap menanggung dosa atas perbuatannya meminang wanita yang telah dipinang oleh orang lain. Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis:

Seseorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya (saudara sesama Islam), sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan pinangannya) atau dia mengizinkan peminangan itu. - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Semasa majlis peminangan mahupun pertunangan dilangsungkan, maka disunatkan untuk berkhutbah atau memberi ucapan pada awal majlis. Khutbah tersebut dimulakan dengan puji-pujian kepada ALLAH kerana DIAlah yang layak menerima segala pujaan dan pujian daripada hamba-NYA. Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah:

Semua perkara yang ada nilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji ALLAH adalah cacat. - Hadis riwayat Ibn Majah

Jika dilihat dari sudut adat pertunangan yang diamalkan di tempat kita pada hari ini, terdapat semacam satu trend apabila masing-masing mempamerkan cara yang tersendiri bagi memeriahkan majlis tersebut.

Rombongan pihak lelaki akan membawa beberapa buah dulang yang berisi dengan pelbagai barangan cenderahati untuk dihadiahkan kepada pihak perempuan. Begitu juga sebaliknya.

Malah, suasana kini telah jauh berbeza dengan majlis pertunangan pada masa dahulu. Dengan peredaran zaman yang semakin canggih, ada pihak perempuan yang mengadakan pelamin serta pemasangan khemah khas untuk para tetamu dan jemputan.

Majlis pertunangan sudah seperti majlis walimah sebenar. Berbanding dengan keadaan dahulu, semuanya diadakan secara tertutup di rumah pihak perempuan yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat.

Apa pun, perlu menjadi ingatan bahawa bersederhana dalam melakukan ibadat itu dituntut oleh Islam. Bagi golongan berkemampuan, elakkanlah daripada sebarang bentuk pembaziran, terutamanya ketika majlis pertunangan. Walaupun kita termasuk dalam kategori orang yang berkemampuan, namun bersederhana adalah sangat dituntut.

Perkara ini boleh disandarkan kepada gesaan Rasulullah agar kita tidak membazir melalui perumpamaan mengambil wuduk, meskipun mempunyai bekalan air yang banyak. Mengambil wuduk secara berlebihan tetap dikira sebagai pembaziran. Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud:

Sesungguhnya akan ada di kalangan umat ini, satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa. - Hadis riwayat Abu Dawud

Apatah lagi jika majlis yang diadakan secara bermewah-mewahan itu bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimiliki. Keadaan ini amat dicela oleh Islam.

Sekiranya majlis tersebut dibuat secara ‘besar’ dengan tujuan untuk menjamu sanak saudara dan jiran tetangga, maka ia adalah satu perbuatan yang mulia.

Manakala bagi golongan yang tidak berada, adalah sesuatu yang malang jika mereka masih berhajat untuk mengadakan majlis pertunangan dengan kosnya melebihi kemampuan sendiri. Meskipun trend masyarakat sentiasa berubah, ini tidak menunjukkan bahawa kita juga wajib mengikut rentak semasa.

Dalam Islam, majlis yang diadakan mengikut kemampuan sendiri serta jauh daripada sebarang bentuk pembaziran dan pembebanan adalah lebih utama. Apa yang penting, hasrat murni untuk membina kehidupan berkeluarga menurut ketetapan Islam itu terlaksana.

Sebenarnya, perbincangan secara berhikmah dengan ibu bapa kedua-dua belah pihak dapat mengelakkan perkara-perkara tidak ‘cantik’ menurut Islam itu menghiasi majlis peminangan mahupun pertunangan.

Pihak lelaki dan perempuan yang bakal menjadi pasangan suami isteri harus bijak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan ikatan pertunangan mereka diberkati ALLAH, seterusnya sampai ke majlis pernikahan dengan selamat.

Tindakan bijak oleh individu yang faham tentang tuntutan dan larangan Islam akan menjamin keberkatan hidup menurut landasan syarak. Mengutamakan tuntutan syarak itu lebih utama berbanding adat setempat,

jika ia membebankan. Ingatlah, ketetapan yang dibuat oleh syarak bertujuan untuk menjamin kebahagiaan dan keberkatan hidup pasangan suami isteri, bukan sahaja untuk kehidupan di dunia ini, tetapi lebih utama di akhirat kelak.


Bagi yang tiada masa ke kedai buku, bolehlah membuat pesanan secara pos. Sila bank in bayaran (menurut harga buku) ke akaun Karangkraf Mall Sdn Bhd. (Maybank - 0142 7120 4204). Tambah RM7 senaskhah bagi kos pos. Kemudian, fakskan slip bank (nyatakan nama, judul buku, alamat & no.tel) ke 03-5101 7483.

Atau sertakan Kiriman Wang/Wang Pos/Cek atas nama KARANGKRAF MALL SDN. BHD. Kirimkan ke Unit Langganan Karangkraf Mall Sdn Bhd, P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor.

Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi 03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau http://mall.karangkraf.com

sumber : Sinar Harian Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...