23.3.14

MINI Cooper

MINI semakin premium
Oleh SHAWKATH AZDE dan HAIKAL RAMAN
garaj@kosmo.com.my



SELEPAS mendapat hak pemilikan jenama MINI pada tahun 1994, BMW AG melakukan transformasi total pada model ikonik jenama Britain itu. MINI kini berwajah moden, segar, sarat dengan teknologi dan saiznya lebih besar. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan itu ciri-ciri yang ada pada sesebuah kereta BMW.

Tindakan itu mencetuskan dua reaksi berbeza dalam kalangan peminat MINI di serata dunia. Bagi para pemilik MINI generasi lama, mereka nyata kecewa dengan tindakan BMW AG. Ada juga peminat yang tidak mahu mengiktiraf model MINI generasi baharu keluaran syarikat Jerman itu sebagai sebuah MINI.

Bagi golongan itu, pembangunan MINI baharu sudah menyimpang daripada idea asal pencipta kereta itu iaitu Alec Issigonis. MINI mula diperkenalkan pada era pasca-Perang Dunia Kedua sebagai sebuah kereta bajet yang bersaiz kecil, mampu milik, kos rendah dan untuk orang ramai.

Reaksi kedua memenuhi keperluan kelompok pengguna urban yang mahu sebuah kereta bersama pakej pemanduan menyeronokkan, gaya hidup dan menitikberatkan gaya fesyen. Permintaan itu berjaya dipenuhi oleh BMW AG dengan tawaran kereta kompak premium MINI generasi baharu.

Sepanjang pemilikan MINI sejak 20 tahun lalu, BMW AG berjaya memperkenalkan tiga generasi MINI baharu ke persada antarabangsa. Di pasaran tempatan, tugas membawa masuk dan memasang rangkaian produk MINI dipertanggungjawabkan kepada BMW Group Malaysia (BMW Malaysia).


MODEL Cooper S tampak lebih sporty hasil padanan bampar dan bolong kemasukan udara di bahagian bawah gril.

Baru-baru ini, BMW Malaysia melalui entiti di bawahnya iaitu MINI Malaysia membawa masuk dua model MINI generasi ketiga iaitu Cooper dan Cooper S.

Kenderaan generasi baharu itu didakwa telah melepasi fasa pembaharuan pada aspek keseronokan pemanduan, kualiti, teknologi termaju dan gaya baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils memberitahu, model generasi ketiga itu bukan kenderaan naik taraf tetapi sebuah kereta baharu yang bakal menetapkan melonjakkan penanda aras dalam segmen kereta premium kompak.

Tiga mod pemanduan

Katanya, MINI generasi ketiga didatangkan dengan enjin baharu cekap penggunaan bahan api sekali gus mengurangkan pembebasan karbon. MINI Cooper menggunakan enjin petrol tiga silinder berkapasiti 1.5 liter manakala Cooper S diberi padanan enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter.


MINI generasi ketiga menawarkan keluasan ruang simpanan kargo yang lebih luas untuk kelegaan pemiliknya.


Kedua-dua unit enjin itu diadun bersama teknologi pengecas turbo, sistem pancutan terus bahan api dan kawalan aci sesondol. Semuanya boleh diubah pada bahagian pengambilan masuk udara dan bahan api serta bahagian ekzos. Transmisi yang digunakan ialah enam kelajuan automatik.

Teknologi baharu itu didakwa mampu membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 27 peratus jika dibandingkan generasi sebelumnya. Pengguna turut ditawarkan tiga mod pemanduan iaitu MID, Sport dan Green yang boleh ditetapkan menerusi tombol boleh laras di bahagian tuil gear.

Mod Green sesuai untuk pemanduan santai manakala Sport pula untuk pemanduan lebih agresif. Pilihan tetapan MID menggabungkan kedua-dua mod Sport Green dan Sport.

Bagi merealisasikan pemanduan ala go-kart, pasukan arkitek MINI melakukan kiraan matematik untuk mengimbangi binaan saiz kenderaan yang besar tanpa menjejaskan kualiti pemanduan go-kart warisan MINI sebelum ini.

Saiz lebih besar

Jika dibandingkan dengan model generasi kedua, dimensi saiz MINI baharu kini lebih panjang sebanyak 98 milimeter (mm), 44mm lebih lebar dan 7mm lebih tinggi.


SKRIN paparan berwarna untuk sistem sambungan dan audio ditempatkan pada bahagian tengah papan pemuka.

Pembesaran MINI juga menyumbang kepada aspek peningkatan keselesaan pemandu dan penumpang bahagian hadapan apabila ruang tambahan kelegaan kaki ditingkatkan sebanyak 23mm. Volum simpanan barang dalam but MINI turut ditingkatkan kepada 211 liter.

Reka bentuk bahagian luaran model Cooper tidak jauh berbeza dengan model sebelumnya. Malah ia bukannya menambat perhatian biarpun ada komponen yang sudah diperhalusi seperti garis badan, sil bahagian tepi dan pelindung roda.

Melangkah masuk ke dalam kabin, ada beberapa perubahan yang dilakukan benar-benar logikal. Instrumen meter dikembalikan kedudukannya pada bahagian hadapan stereng.

Sebelum ini, meter itu dipasang pada bahagian konsol tengah. Bolong udara kini berbentuk segi empat dan bukannya bulat seperti generasi kedua. Pembaharuan yang lain ialah suis pembuka tingkap kini dipasang pada bahagian pintu.

Bagi model Cooper S, perbezaannya melibatkan penggunaan lampu LED pada lampu utama dan padanan lampu DRL LED. Ia nampak sedikit sporty hasil gayaan gril radiator, warna bampar dan paip ekzos yang dipasang pada bahagian tengah di bawah bampar belakang. Tambahan lain ialah fungsi enjin automatik start/stop dan sistem kemasukan tanpa kunci.

Cooper dan Cooper S ditawarkan dalam warna oren, kelabu, merah, biru dan kelabu. Warna bumbung kereta, perumah cermin sisi dan jalur atas bonet ditawarkan dalam pilihan warna putih atau hitam.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm

1 comment:

Unknown said...

Nice blog
jangan lupa singgah ke http://www.kainkapanku.blogspot.com/

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...