23.3.14

Objek yang dikaitkan dengan MH370 masih tidak ditemui

Objek-objek yang dikesan Australia belum kelihatan
MAR 22, 2014 HARAKAHDAILY



KUALA LUMPUR: Objek-objek yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia berkait dengan pesawat MH370 belum ditemui dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pesawat itu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata lima pesawat dan dua kapal dagang terbabit dalam operasi SAR di kawasan dua objek itu dikesan oleh statelit Australia, kira-kira 2,500km dari barat daya Perth, Australia di Lautan Hindi.

"Walaupun penggunaan kaedah mencari secara visual yang lebih baik, namun objek itu tidak kelihatan," katanya pada taklimat media hari ini berhubung usaha SAR bagi menjejak pesawat jenis Boeing 777-200ER yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lepas.

Usaha mencari di bahagian selatan Lautan Hindi dimulakan selepas Perdana Menteri Australia, Tony Abbot memberitahu Parlimen negara itu mengenai dua objek berkenaan yang mungkin berkait dengan penerbangan MAS.

"Operasi SAR akan diteruskan dan hari ini, mereka bercadang mencari kawasan seluas kira-kira 10,500 batu nautika persegi," kata Hishammuddin.

Berhubung hasil pencarian awal di koridor utara, beliau berkata China, Pakistan, India, Myanmar, Laos, Kyrgyztan dan Kazakhstan secara lisan memaklumkan bahawa pesawat itu tidak dikesan di radar negara masing-masing.

Beliau berkata Australia, selaku ketua penyelaras operasi SAR di koridor selatan, menjangkakan sebanyak enam pesawat iaitu empat pesawat tentera dan dua pesawat awam akan melakukan pencarian secara visual di kawasan tersebut.

Katanya dua kapal dagang akan turut menyertai operasi bersama kapal tentera laut Australia, 'HMAS Success', hari ini.

Hishammuddin berkata pencarian di koridor selatan amat mencabar kerana kedalaman lautan berbeza antara 1,150 meter dan 7,000 meter.

"Dalam kawasan kemungkinan objek-objek yang dikenal pasi oleh pihak berkuasa Australia itu, keadaan ombak yang tinggi dan laut bergelora," katanya sambil menambah bahawa amaran taufan 'Gillian' telah dikeluarkan di koridor selatan itu.

Hishammuddin turut menyatakan penghargaan tinggi terhadap semua anggota SAR dari pelbagai negara yang mengambil risiko dalam operasi mencari pesawat berkenaan.

Beliau berkata dua lagi pesawat China, 'Ilyushin IL-76s' akan tiba di Perth untuk membantu dalam operasi SAR manakala pesawat 'Shaanxi Y-8', yang tiba semalam, akan beroperasi dari Pangkalan Udara Subang, dekat sini.

"China juga akan menghantar tambahan dua kapal dari Laut Andaman untuk menyertai lima kapal China yang sudah berada di koridor selatan," katanya.

Selain itu, dua pesawat India -- P-8 Poseidon dan C-130 Hercules -- tiba di sini semalam untuk membantu operasi SAR.

Hishammuddin berkata kapal Britain, 'HMS Echo, yang dilengkapi dengan sensor canggih yang boleh menyokong operasi kapal selam dan amfibia, kini dalam perjalanan dari Teluk Persia menuju ke koridor selatan.

Koridor utara merangkumi kawasan dari sempadan Kazakhstan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan pula dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Kedua-dua koridor tersebut meliputi 2.24 juta batu nautika persegi. - Bernama

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/26602-objek-objek-yang-dikesan-australia-belum-kelihatan

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...