Iklan Nuff

26.3.14

Pencarian MH370 dilokasi akhirnya akan mengambil masa

MH370: Pencarian serpihan, rangka dan objek ambil masa
Berita dipetik dari Bernama| Kemas kini: Mac 26, 2014





KUALA LUMPUR: Selepas nasib pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, usaha mencari kini tertumpu di bahagian selatan Lautan Hindi.

"Apa yang kita perlu lakukan pada minggu dan bulan akan datang ialah mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek berkaitan pesawat MH370 supaya boleh kita mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa MH370 telah hilang di selatan Lautan Hindi," katanya.

Perdana Menteri mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi pada Ahad.

Ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat pada Isnin, Najib merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan 227 penumpang serta 12 anak kapal penerbangan MH370.

Najib berkata walaupun jawapan berhubung misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh dirungkai oleh rakaman perbualan kokpit dalam kotak hitam, siasatan terperinci perlu dilakukan secara profesional disertai dengan komitmen.

Susulan analisis data terbaharu, operasi mencari dan menyelamat di koridor utara dan bahagian utara koridor selatan dekat Indonesia, dihentikan.

Koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand sementara koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pihak berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), dalam kenyataan hari Selasa, menyebut usaha pencarian MH370 di Lautan Hindi ditangguh berikutan cuaca buruk dan laut bergelora.

Kenyataan itu menyebut kawasan berkenaan dijangka mengalami ombak setinggi 2 meter dan boleh mencecah empat meter selain diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer sejam beserta hujan lebat dan awan rendah dengan ketinggian antara 60 dan 150 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya pula berkata MAS memberi bantuan awal kewangan US$5,000 kepada anggota keluarga terdekat setiap penumpang MH370. Beliau juga berkata sejak penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac, syarikat itu memfokus kepada keselesaan dan khidmat sokongan untuk anggota keluarga penumpang selain menyokong usaha pencarian.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengumumkan hasil siasatan terhadap penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu kerana ia akan menjejaskan siasatan ketika ini.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan yang menjurus kepada empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah mental dan masalah peribadi, tidak berubah.

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...