26.3.14

Siapa yang mampu membongkarkan rahsia MH370?


MH370: Terus diselubungi misteri – Nazil Nuhairi Ismail
MARCH 25, 2014

Dunia kembali bersedih dan berduka selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan nasib pesawat MH370. Terhempas di Lautan Hindi yang kedalamannya melebihi beberapa kali jarak menara KLCC. Selepas hampir genap 3 minggu pencarian, kesedihan mula sedikit reda, kini semua kembali berduka.

Teori dan spekulasi terus berkumandang dan semakin rancak. Jawapan perdana menteri itu tidak meredakan persoalan, malah bertambah tanda soal. Apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat MH370 ini. Kenapa terpadam isyarat transponder, kenapa berpusing ke kiri, kenapa boleh terlepas terbang ke Lautan Hindi, ke mana destinasinya? Adakah tragedi ini suatu kemalangan ataupun rampasan? Pelbagai pandangan dihamburkan namun satu pun tidak pasti.

Namun, pengumuman ini memberi jawapan kepada semua ahli keluarga mangsa dan warga dunia kepada persoalan ke mana hilangnya MH370. Sedikit meringankan kesakitan seperti ubat penahan sakit menghilangkan sementara sakit kronik. Penderitaan emosi yang berpanjangan kepada seluruh ahli keluarga mangsa.

Siapa yang mampu membongkarkan rahsia MH370? Terasa kelu dan bisu semua manusia. Sekalipun diajukan kepada manusia sombong yang mendakwa mencapai kecanggihan moden dunia. Semua bijak berteori dan berkata-kata, namun gagal memberi jawapan yang pasti.

Kalau tragedi ini suatu kemalangan, apa yang mampu kita lakukan? Ketentuan di luar percaturan manusia. Perkara sudah berlaku, akan berlalu. Yang masih hidup perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, terima ketentuan Ilahi dan yakin kebijaksanaan Yang Maha Kuasa mengatur nasib manusia.

Kalau tragedi ini satu konspirasi, ini yang perlu dibongkarkan dan buru pesalahnya. Pastinya sanak saudara dan hati kemanusiaan dunia ingin melihat yang bersalah menerima hukuman setimpal atas perbuatannya. Barulah puas hati ini melihat keadilan ditegakkan dan kezaliman dijatuhkan. Baru aman dunia dan seisinya. Itu prinsip agama, tiada satu pun kesalahan dan dosa manusia akan terlepas melainkan akan dihukum. Jika tidak di dunia ini, di kehidupan selepas kematian. Dosa tidak akan terlepas.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ahli keluarga untuk lebih 200 penumpang MH370 yang memikul beban ujian. Perasaan mereka dan kita, sebagai penonton tragedi tidak akan sama. Kesedihan mereka, dengan kesedihan kita tidak mungkin sama. Apa yang mampu kita lakukan, bersama harungi kesedihan. Bersama merasai beban ujian bersama. Ini dapat meringankan sedikit beban duka hati mereka. Bersimpati dan berdoa bersama sebagai manusia kerdil yang lemah.

Kehilangan MH370 akan terus menyimpan misteri yang tidak terungkap. Sejarah mengajar kita tidak semua kejadian memerlukan jawapan. Tidak perlu terlalu sedih dengan apa yang berlaku kerana akan membuka masalah lain pula. Yang terbaik sebagai manusia, menerima hakikat, berlapang dada dan berserah kepada Yang Mencipta Manusia. - 25 Mac, 2014.

* Dr Nazil Nuhairi Ismail ialah Pengerusi Persatuan Profesional Muda Kedah (Promis).

sumber : http://networkedblogs.com/VeXxT

1 comment:

Pokok Manggis Depan Rumah said...

Tiada siapa tahu kisah sebaliknya. Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...