Iklan Nuff

28.5.14

Kembalikan hak mengajar sebagai hadiah

Mohd Nor Izzat Mohd Johari

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
27 Mei 2014

SHAH ALAM - “Pemberian netbook bukanlah hadiah Hari Guru bagi kami, tetapi kembalikan hak kami untuk mengajar dan bukan membebani kami dengan urusan kerja pengkeranian yang melampau,” demikian respon aktivis pendidikan, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkenaan cadangan kerajaan membekalkan netbook kepada 400,000 guru.

Nor Izzat berkata, hadiah yang paling sesuai untuk semua guru adalah dengan memberhentikan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan bukannya dengan pemberian netbook.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih apabila menteri mengumumkan pemberian netbook kepada semua guru.

“Saya berpendapat bahawa pemberian netbook berkenaan tidak berapa sesuai kerana saya percaya bahawa semua guru di Malaysia sudah pun memiliki laptop masing-masing sejak kami disuruh melaksanakan SPPBS atau dikenali sistem online PBS.

“Ketika itu, bukan sahaja laptop dibeli sendiri malah talian internet berkelajuan tinggi terpaksa dilanggani bagi mempercepatkan urusan kemasukan prestasi murid malangnya bukan disebabkan kelajuan internet tetapi server Kementerian Pendidikan Malaysia yang lemah.

“Oleh itu, saya mewakili guru Malaysia memohon agar hentikan PBS serta-merta kerana ianya sangat membebankan seluruh murid daripada tingkatan 1 hingga 3 dan lebih menyedihkan ialah format Pentaksiran Tingkatan 3 masih belum ada ketetapan daripada pihak KPM,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Pemberian netbook kepada guru adalah cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi menghargai jasa pendidik.

Shabery dalam kenyataanya berkata, perkara itu telah dipersetujui Kabinet dalam mesyuarat mingguannya Rabu minggu lalu.

Program pemberian Netbook 1Malaysia diperkenalkan pada 2010 yang bertujuan meningkatkan kadar celik teknologi maklumat dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Sehingga kini, lebih 1.7 juta Netbook 1Malaysia telah diagihkan kepada pelajar sekolah dan universiti daripada keluarga kurang berkemampuan.

sumber : Sinar Harian Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...