18.5.14

Setiap calon punyai kelebihan

PRK Teluk Intan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2014

SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat situasi PRK Parlimen Teluk Intan sesuatu yang menarik apabila kedua-dua calon daripada PR dan BN mempunyai kelebihan tersendiri.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, DAP mempertaruhkan calon muda sementara Gerakan meletakkan calon berpengalaman untuk pertemuan kali ini.

“Sebab DAP memilih setiausaha politik kepada Lim Kit Siang (Dyana Sofya Mohd Daud) sebagai calon PR mungkin kerana mahu menarik pengundi muda dan memberi keyakinan kepada pengundi Melayu yang parti itu bukanlah parti Cina semata-mata.

“Gerakan pula memilih presidennya (Datuk Mah Siew Keong) sebagai calon BN disebabkan pengalamannya menjadi calon di kawasan itu sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Namun menurutnya, BN perlu menyusun strategi sebaiknya bagi memenangi PRK itu, agar mengelak kekalahan seterusnya dikritik kerana tidak dapat mengalahkan calon muda yang tiada kepentingan politik sebelum ini.

“Mungkin Datuk Siew Keong boleh meyakinkan masyarakat kawasan itu dengan mengetengahkan isu-isu latar belakang Dyana yang masih muda dan tidak tahu hala tuju yang mahu dibawa jika memenangi PRK itu.

“Namun jangan terlalu yakin, kerana sentimen masyarakat bukan boleh diduga. Mungkin pengundi Teluk Intan mahukan orang muda pula mengetuai mereka dan sudah jemu dengan pimpinan lebih veteran, tambahan pula sudah dua kali kalah,” katanya.

Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hasan pula melihat pilihan Siew Keong sebagai calon BN adalah tepat kerana bakal menyaksikan pertandingan dua calon bertentangan.

“Calon wanita muda dan calon lelaki berpengalaman. Masing–masing ada kelebihan tersendiri yang membolehkan PR atau BN memenangi PRK tersebut.

“Semua bergantung kepada manifesto dijanjikan dan cara menawan pengundi kawasan itu yang mempunyai 42 peratus Cina 38 peratus Melayu,” katanya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...