Iklan Nuff

7.6.14

Anak saya akan kekal Islam, kata bapa pengantin ditahan Jais

Mendapat reaksi bapa kepada pengantin yang ditahan Jais minggu lalu, Abdul Majid Gulam Kader berkata tidak akan menandatangani apa-apa dokumen dan tidak akan membenarkan anaknya keluar Islam. – Gambar fail, 7 Jun, 2014.

Bapa kepada pengantin perempuan yang ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semasa majlis perkahwinannya di kuil Hindu minggu lalu menegaskan tidak akan membenarkan anaknya keluar daripada Islam, lapor akhbar The Star.

Abdul Majid Gulam Kader berkata keempat-empat anaknya dilahirkan oleh ibu bapa beragama Islam, memandangkan ketika perkahwinannya, bekas isterinya juga dahulu memeluk agama Islam.

"Mereka dilahirkan oleh ibu bapa yang beragama Islam‎," katanya sepertimana dipetik akhbar itu.

Malah, bapanya yang seorang pengawal keselamatan itu juga sememangnya beragama Islam dan bukannya mualaf seperti yang didakwa anaknya, Zarinah.

Abdul Majid turut menafikan bahawa keluarganya beragama Hindu kerana ibu bapanya berasal dari Pakistan dan berketurunan India Muslim.

Tambahnya, bapanya sendiri yang membawa dia dan bekas isterinya, Vasantha ke Persatuan Kebajikan Malaysia (Perkim) pada tahun 1979 untuk menukar agama ibu Zarinah dan berkahwin dengannya.

"Nama Islam Vasantha adalah Zainab dan itu adalah nama yang diletakkan dalam sijil kelahiran anak-anak," katanya.

Justeru itu katanya, apa sahaja dokumen yang diperlukan untuk keempat anaknya menukar nama dan agama di Jabatan Pendaftaran Negara tidak akan dilakukan.

‎Abdul Majid juga berkata dia tidak pernah meninggalkan keluarganya selepas anak lelakinya dilahirkan, tetapi dihalau keluar pada 2000 selepas menegur anak perempuannya pulang lewat malam.

Abdul Majid juga mendakwa menjadi gelandangan sejak diusir keluar oleh keluarga isterinya.

Abdul Majid mengakui Zarinah pernah datang melawatnya di tempat kerja dua bulan lalu bagi menandatangani dokumen, namun pengawal keselamatan itu enggan melakukannya.

"Saya menolak dan berkata isu itu sepatutnya dibincangkan di rumah dan bukan di jalanan," katanya.

‎Ahad lalu, Jais menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Hindu di kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang dipercayai beragama Islam.

Jais dikatakan menerima aduan sejak Jumaat lalu dan mengarahkan tiga pegawai penguatkuasa menjalankan siasatan dengan bantuan polis.

Zarinah kemudiannya dibawa ke pejabat Jais untuk disoal siasat setelah pegawai Jais mendapati status agama di kad pengenalannya tertera beragama Islam.

Bercakap kepada The Malaysian Insider sebaik sahaja dibebaskan, Zarinah memberitahu tidak akan sesekali mengalah.

Katanya, sejak lebih daripada 20 tahun keluarganya berjumpa dengan ramai peguam untuk menyelesaikan masalah itu, namun gagal.

Zarinah juga berkata sejak ibu bapanya bercerai, dia mengikuti ibunya mengamalkan agama Hindu.

Sementara itu, akhbar itu juga turut mendapat reaksi daripada ibu tiri Abdul Majid, Fatimah Abdullah.

Fatimah mendakwa anaknya dan Vasantha kerap bertengkar ekoran daripada perbuatan wanita itu membawa anaknya ke kuil ketika kecil.

‎"Saya sudah membuat laporan mengenai hal itu kepada Jais dua kali dalam tempoh beberapa tahun lalu, namun tiada tindakan yang diambil," katanya. – 7 Jun, 2014.

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...