6.6.14

RM1.037 Bilion Diperuntuk Selenggara Jalan Persekutuan


JOHOR BAHRU 5 Jun - Kementerian Kerja Raya memperuntuk sebanyak RM1.037 bilion pada tahun ini untuk kerja menyelenggara jalan persekutuan sepanjang 17,458km seluruh negara.

Menterinya Datuk Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu sebanyak RM409 juta diperuntuk bagi kerja rutin manakala peruntukan sebanyak RM628 juta ialah untuk kerja berkala.

"Kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di Malaysia dilaksanakan secara penswastaan kepada lapan syarikat konsesi yang dilantik mengikut zon masing-masing iaitu tiga di Semenanjung Malaysia dan lima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran kerja undi penyelenggaraan Jalan Persekutuan 2014 peringkat negeri Johor di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Baharu, di sini.

Menurut Fadillah, sebanyak 581 projek penyelenggaraan jalan persekutuan bernilai RM28 juta akan dilaksanakan menerusi kerja undi pada tahun ini dan bermula secara serentak mulai hari ini.

Sebanyak 412 daripada projek terbabit dengan kos sebanyak RM20 juta dilaksana di Semenanjung Malaysia, manakala 81 projek pula di Sarawak dan 88 di Sabah yang menelan belanja sebanyak RM4 juta masing-masing, kata Fadillah.

Tujuan utama kerja undi dilaksanakan, katanya, supaya dapat membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil untuk terlibat sama dalam kerja penyelenggaraan jalan persekutuan.

"Program Kerja Undi dapat membuka peluang kepada syarikat kecil untuk terlibat sama dengan kerja penyelenggaraan jalan persekutuan sejajar dengan hasrat kerajaan supaya pengagihan kek ekonomi negara dapat dinikmati bersama," katanya.

Mengenai usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya, Fadillah berkata sebanyak 74 projek pembaikan kawasan 'blackspot' bernilai RM31 juta dan 50 projek Lintasan Pejalan Kaki Searas 1Malaysia bernilai RM10 juta dilaksana tahun lepas.

Tahun ini kementerian, katanya, akan membelanjakan RM20 juta lagi bagi melaksanakan 50 projek pembaikan kawasan 'blackspot' dan RM7 juta untuk 35 projek Lintasan Pejalan Kaki Searas 1Malaysia.

Pelaksanaan kedua-dua projek telah dapat menurunkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan itu secara mendadak, katanya

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...