13.6.14

Selangor, kementerian bincang semula penstrukturan industri air


Shah Alam: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini di Putrajaya, berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pertemuan itu akan membincangkan status Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), yang masih enggan menerima tawaran pengambilalihan bernilai RM9.65 bilion.

“SPLASH belum terima dan kita akan bincang esok (hari ini) mengenainya. Seperti yang kita cakap, kita boleh pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Industri Air (WSIA) untuk selesaikan perkara ini.


Beri kuasa

“WSIA memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan, menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil alih pengeluaran air dan pengurusan aset air. Jadi, perkara ini akan dibincang dengan kementerian bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri di sini, semalam.

Ditanya mengenai tempoh untuk menyelesaikan pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Abdul Khalid berkata, ia akan mengambil masa antara 21 hari hingga sebulan.
“Ada beberapa perkara untuk diselesaikan kerana Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) secara prinsip bersetuju menerima tawaran Kerajaan Selangor. Kita akan fokus mengenai perkara ini sehingga selesai sepenuhnya,” katanya.

Kelmarin, PNHB secara prinsip bersetuju menerima tawaran Kerajaan Selangor untuk mengambilalih 100 peratus pegangan saham dalam anak syarikatnya, iaitu PNSB dan 70 peratus kepentingan saham dalam SYABAS, dengan pertimbangan tunai bersih berjumlah RM1,555.3 juta.

Persetujuan itu dicapai selepas beberapa siri rundingan dan pertukaran surat antara Puncak Niaga; KeTTHA dan Kerajaan Selangor menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).


Pengambilalihan semua aset, liabiliti

Cadangan pengambilalihan PNSB dan SYABAS oleh KDEB itu merangkumi pengambilalihan semua aset dan liabiliti PNSB yang berkaitan dengan perniagaan konsesi sahaja.

Sementara aset, liabiliti dan perniagaan bukan berkaitan konsesi milik PNSB dikembalikan kepada Puncak Niaga oleh KDEB tanpa kos.

Puncak Niaga adalah pengendali air dirawat terbesar di Selangor menerusi pemilikan 100 peratus dalam PNSB dan kepentingan 70 peratus dalam SYABAS.

Hanya Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS) yang menerima tawaran kerajaan negeri Selangor mengikut jadual.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...