Iklan Nuff

11.3.15

Haron Din Mursyidul Am PAS Baharu


Haron Din.

KUALA LUMPUR: Majlis Syura PAS pada Ahad lepas sebulat suara melantik Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am parti yang baharu bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Majlis itu, yang terdiri daripada 15 anggota mewakili pelbagai pihak, membuat keputusan itu dalam satu mesyuarat di ibu pejabat PAS pusat di sini.

Mereka turut melantik Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan Perlembagaan PAS yang memberi kuasa kepada seluruh anggota Majlis Syura melantik individu paling layak mengetuai mereka sebagai mursyidul am.


"Berdasarkan perlembagaan parti, Majlis Syura akan menentukan jawatan itu (mursyidul am dan timbalan) setiap lima tahun," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Jawatan mursyidul am PAS kosong berikutan penyandangnya Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

Allahyarham Nik Aziz menyandang jawatan Mursyidul Am sejak 1995.

Latar belakang Haron Din

Haron bin Din dilahirkan di Bohor Mali, Kangar, Perlis pada 18 Ogos 1940. Beliau merupakan anak ke-3 daripada 10 orang adik beradik. Dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpegang kuat kepada ajaran agama, beliau dididik mendalami ilmu agama dan al-Quran sejak kecil lagi.

Ibu bapa beliau merupakan guru al-Quran yang mengajar kepada masyarakat setempat. Dua orang saudara lelaki beliau juga merupakan antara tokoh agamawan yang disegani di Malaysia, iaitu abang beliau, Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau, Ustaz Abu Hassan bin Din.

Pendidikan

Seawal usia 7 tahun, Haron Din telah dihantar ke sekolah aliran pondok di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah di Bohor Mali. Setelah menamatkan pengajian di peringkat rendah, beliau melanjutkan pengajian menengah rendah ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah. Kesungguhan dan kecekalannya dalam menuntut ilmu membuahkan hasil apabila beliau mendapat pangkat imtiaz sepanjang menuntut pengajian di sekolah tersebut.

Pada tahun 1960, beliau telah memasuki Kolej Islam Malaya dan mencatat keputusan cemerlang, 'Sijil Tertinggi Kolej' hingga dianguerahkan Hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan sarjana di Mesir.

Di Mesir, Haron Din mengambil dua ijazah serentak, iaitu Ijazah Sarjana Syariah di Universiti al-Azhar, Kaherah dan Diploma Pendidikan di Universiti Ain Sham.

Berkat kesungguhan beliau menelaah pelajaran tidak sampai tempoh dua tahun, Haron Din berjaya menamatkan pengajian di Mesir dan pulang ke tanah air pada tahun 1968.

Kerjaya dan Tugas Sebagai Pendidik

Sekembalinya dari luar negara, beliau berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Abdullah Munsyi, Pulau Pinang. Bermula dari saat itulah beliau mula bergiat aktif berdakwah kepada masyarakat.

Jadual harian beliau sentiasa padat dengan jemputan tazkirah, kuliah dan ceramah di masjid-masjid daripada masyarakat setempat, pengajian sesama guru mahupun jemputan kelas agama daripada rumah-rumah perseorangan. Pada masa yang sama juga, beliau juga merupakan pensyarah sambilan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kursus-kursus pendidikan guru agama di Maktab Perguruan Teknik, Pulau Pinang. Beliau turut mengajar mata pelajaran Art of Teaching and Child Development.

Selepas itu, beliau turut ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada awalnya Haron Din enggan menerima tawaran tersebut kerana merasakan terlalu awal bagi beliau menjadi pensyarah sebuah universiti ketika itu. Namun, setelah dipujuk sendiri oleh dekan Fakulti Islam, beliau akhirnya bersetuju.

Kecintaan terhadap ilmu mendorong beliau terbang sekali lagi ke Mesir untuk menyambung pengajian diperingkat Doktor Falsafah (Ph.D). Pada tahun 1973, beliau telah berjaya memperoleh Ph.D dalam bidang syariah daripada Universiti Darul Ulum, Kaherah.

Sekembalinya ke tanah air, beliau meneruskan khidmat sebagai pensyarah di UKM. Kemudian, pada tahun 1977, beliau dilantik menjadi Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam sehingga 1985. Kecemerlangan dan sumbangan besar Haron Din dalam bidang akademik melayakkan beliau dianugerahkan anugerah Profesor daripada UKM pada tahun 1986.

Pengetahuannya dalam bidang syariah menyebabkan beliau dilantik oleh banyak pihak sebagai penasihat syariah. Antaranya adalah Bank Negara, Public Bank, Muamalah Financial Consulting dan CIMB. Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Selangor.


Penglibatan dalam Perubatan Islam

Pendedahan Haron Din dalam bidang perubatan Islam bermula sejak muda lagi, semuanya hasil didikan oleh ayahanda beliau. Ayahanda beliau yang dikenali oleh orang kampung sebagai Lebai Din merupakan seorang perawat yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis dan doa-doa.

Minat untuk mendalami perubatan Islam yang ditunjukkan oleh Haron Din disedari oleh ayahanda beliau, menyebabkan beliau sering dibawa bersama ketika merawat. Pada ketika itu, ayahanda beliau hanya mengajarkan perkara-perkara asas perubatan sahaja.

Menyedari ilmu perubatan Islamnya masih cetek, Haron Din mengambil inisiatif sendiri belajar daripada alim ulama. Keberadaan di Mesir ketika menyambung pengajian dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendalami ilmu perubatan Islam.

Antaranya kaedah rawatan hypnotism daripada Doktor Kamal. Di Malaysia pula, beliau menuntut ilmu rawatan yang sama daripada Tuan Haji Murshidi. Beliau juga berguru dengan Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi, Syeikh Muhammad Bayumi, Bapak Mokhtar Lintang, Tahir Abdullah, Pak Andak Noh dan Haji Husin.

Beliau bukan sahaja mempelajari kaedah rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis dan doa, bahkan beliau turut mempelajari kaedah penyembuhan menggunakan akar kayu dan tumbuh-tumbuhan.

Haron Din juga merupakan antara pengasas Pusat Rawatan Darussyifa’ yang bukan sahaja menawarkan khidmat rawatan Islam kepada sakit, tetapi juga member tauliah kepada mereka yang ingin mendalami kaedah rawatan Islam.

Penglibatan dalam Politik dan PAS

Beliau dibesarkan dalam keluarga yang berfahaman Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mula berkecimpung dalam bidang politik sejak belasan tahun lagi. Haron Din pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PAS antara 1975 sehingga 1983.

Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS dan ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Oleh kerana terikat dengan kerjaya sebagai pensyarah, beliau tidak terlibat secara langsung dalam pilihan raya hingga tahun 1999.

Beliau hanya bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) mewakili PAS di Parlimen Arau, Perlis pada tahun 2004.

Beliau juga pernah bertanding di kerusi yang sama pada tahun 2008 dan 2013. Walaubagaimanapun, beliau kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam ketiga-tiga PRU tersebut.

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...