2.4.15

Lebih 40 tahun PAS tunggu Kanun Jenayah Syariah



KOTA BHARU: Ada tiga kaedah membolehkan Kanun Jenayah Syariah (KJS) dapat dilaksanakan di Kelantan iaitu menukar kerajaan pusat, tukar perlembagaan dan meminda Perkara 76A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pandangan itu dirumus pakar undang-undang Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim.

Bekas pensyarah UIAM, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, tiga kaedah tersebut sering disebut Prof Ahmad bagi membolehkan KJS dapat dilaksanakan di Kelantan.

Katanya, sejak merdeka sehingga sekarang parti yang menguasai kerajaan pusat gagal ditukar biar pun sudah diadakan 13 kali pilihan raya umum.

“Begitu juga hendak tukar perlembagaan juga sukar untuk dilakukan. Jalan yang lebih mudah hanya pinda Perkara 76A(1) kerana ia hanya memerlukan sokongan majoriti mudah.

“Melalui pindaan itu membolehkan parlimen memberi kuasa kepada Kelantan bagi melaksanakan KJS kerana kuasa menghukum berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat,” katanya pada ceramah penjelasan isu hudud di Putik malam tadi.

Kira-kira 5,000 membanjiri Putik bagi mengikuti penjelasan isu berkenaan. Program bermula dengan solat Isyak dan hajat diimamkan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud dan Ketua Sekretariat Tetap KJS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pada 19 Mac lepas Dun Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) dengan sokongan 44 anggota dewan termasuk 12 daripada Barisan Nasional dan seorang PKR.

Berikutan itu kerajaan Kelantan melalui Ahli Parlimen Marang mengemukakan bil persendirian ke parlimen bagi membolehkan KJS dapat dilaksanakan di negeri tersebut.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sekiranya pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dilakukan membolehkan Kelantan melaksanakan empat hukuman yang terkandung dalam KJS.

Hukuman terbabit iaitu sebat 80 rotan bagi kesalahan minum arak, sebat 80 rotan kesalahan menuduh zina, penjara bagi kesalahan murtad dan sebat 100 rotan kesalahan zina bagi mereka yang belum berkahwin.

“Malangnya apa yang diusahakan di Kelantan dituduh pula sebagai ekstrem, keras, tidak menjiwai masyarakat majmuk, bantu ekonomi rakyat, diperangkap Umno dan pelbagai lagi.

“Kalau hendak tunggu keadaan ekonomi mantap sampai bila pun tidak boleh, sekarang ekonomi semakin parah, kadar jenayah meningkat.

“Begitu juga dengan tuduhan diperangkap Umno. Saya hendak beritahu kalau Umno tipu, mereka bukan sahaja tipu kerajaan Kelantan tetapi tipu polis, Jabatan Penjara, Jakim dan Mufti yang bekerjasama melengkapkan KJS,” katanya.

Malah menurutnya kalau Umno benar-benar menipu sekarang masa terbaik untuk rakyat menolak parti itu.

Nassuruddin pula berkata lebih 40 tahun kerajaan PAS menunggu untuk melaksanakan KJS selepas mendapat mandat kali pertama pada PRU 1959.

Menteri Besar meminta semua pendokong PAS menunaikan solat hajat bagi membolehkan KJS mendapat sokongan semua anggota parlimen Muslim bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan. 

-HARAKAHDAILY 2/4/2015

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...