15.9.15

20,000 pekerja mahir untuk industri halal


Dr Asyraf Wajdi Dusuki

15 SEPTEMBER 2015


SHAH ALAM - Malaysia memerlukan kira-kira 20,000 pekerja berkemahiran dalam industri halal menjelang 2020, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, industri halal kini mempunyai potensi besar untuk diteroka kerana ia telah berkembang dengan meluas.

"Sehubungan itu, komitmen Kolej Universiti Teknologi Islam (Kolej Uniti) untuk melahirkan 3,000 graduan program Diploma Pengurusan Industri Halal menjelang 2020 dilihat tepat pada masanya," katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-14 kolej itu di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kolej Uniti, Datuk Jamal Mohd Amin.

Seramai 566 graduan kolej itu menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen itu.

Daripada jumlah tersebut, 396 graduan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Fakulti Pengurusan dan Pengajian Islam (88), Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (49) dan 33 graduan daripada Kolej Jaiputra, Kota Baharu, Kelantan, yang merupakan rangkaian Kolej Uniti.

Kolej Uniti, yang mula beroperasi di Pasir Panjang, Port Dickson pada 1997, kini mempunyai kira-kira 3,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ia menawarkan 18 program akademik di peringkat sijil dan diploma dalam beberapa bidang termasuk empat program usahasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS). - Bernama

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...