10.9.15

Membebankan, peniaga kecil mahu GST dihapus



Anne Muhammad & Kalpana M Hari

Peniaga gerai makanan dan runcit menggesa kerajaan agar menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan April lalu, dalam Bajet 2016 yang akan dibentang di Parlimen, 23 Oktober ini.

Ia kerana menurut mereka, kesan cukai 6 peratus itu terlalu membebankan sehingga menghimpit peniaga kecil-kecilan.

Malaysiakini berjumpa dengan beberapa peniaga di Lembah Kelang dan mereka mengadu masalah yang sama dan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memasukkan cadangan menghapuskan GST dalam bajet tahun depan.


Peniaga kedai runcit di Brickfield Mallika V Arasoo menggesa kerajaan untuk menghapuskan terus GST kerana kesannya telah membuat perniagaannya mengalami kerugian teruk.

“Perniagaan jatuh kerana GST, sejak GST diperkenalkan pelanggan beritahu saya semua barang sangat mahal dan keadaan ini sungguh teruk.

“Tahun lepas perniagaan saya OK sekarang tidak lagi. Pelanggan merungut dan mereka tidak mahu datang kedai saya, saya mahu GST ini dihapuskan terus,” katanya wanita berusia 58 tahun itu kepada Malaysiakini.

Malika yang sudah empat tahun berniaga berkata kerana GST, harga kacang dal meningkat dari RM5.90 sekilogram kepada RM10.90 sekilogram menyebabkan pelanggannya merungut untuk membayar.


Manakala Peniaga cendol di Brickfield Chan Wai Keong berkata beliau mengalami kerugian sebanyak RM300 sebulan akibat cukai tersebut.

Beliau yang sudah 12 tahun berniaga di situ tidak mengharapkan apa-apa kemudahan dalam bajet tahun depan sebaliknya mahukan GST dihapuskan sepenuhnya.

“(Dengan) GST sekarang, beli barang sekarang meningkat sampai RM300 sebulan. Kalau biasanya keuntungan sebulan RM2,500, sekarang anggaran kerugian RM300

“Tidak mahu kemudahan lain lagi cuma hapuskan GST,” kata peniaga berusia 62 tahun itu.



Selain itu Peniaga gerai nasi ayam di Petaling Jaya Ahmad Azami Razali tegas mahu cukai itu dihapuskan terus dalam belanjawan tahun depan kerana baginya ia tidak langsung menguntungkan rakyat dari hasil yang dikutip.

“GST macam biasa lah tak perlu buat. Bukan untungkan rakyat pun cuma untungkan mereka (kerajaan) sahaja. Satu perkara pun tak untungkan rakyat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan harus bersikap adil terhadap semua dengan menghapuskan cukai yang diperkenalkan April lalu bagi mengurangkan beban yang dialami rakyat.


Bagi perniaga kuih muih di Brickfield Nurul Akmar Yusoff yang sudah 13 tahun berniaga berkata akibat kesan pengenalan GST, beliau terpaksa menaikkan harga kuih yang dijual.

Katanya sebelum ini beliau menjual tiga biji dengan harga RM1 namun sekarang terpaksa menaikkan harga kepada satu biji RM0.40

“Masa jual kuih tiga biji seringgit pun orang complain. Selama 13 tahun berniaga ini baru pertama kali naik harga dan tidak boleh buat apa.

Beliau turut berharap agar kerajaan menghapuskan GST dan sekiranya ia gagal dilakukan, kemudahan lain kepada peniaga kecil-kecilan harus diberikan.



Namun lain pula yang diminta oleh peniaga gerai minum di Petaling Jaya Hasarbuali Mohamed Ali, yang tidak mahu cukai tersebut dimansuhkan sebaliknya mengharapkan kerajaan memberikan peruntukkan elaun sebanyak RM500 sebulan.

“Kalau boleh mahu elaun sebanyak rm500 setiap bulan kerana kos sara hidup meningkat, sewa kedai makin mahal, mahu bayar anak sekolah,”kata lelaki berusia 54 tahun itu.

Katanya, beliau tidak terbeban dengan GST kerana tidak perlu mendaftarkan perniagaan kepada kerajaan memandangkan pendapatan perniagaannya kurang dari RM300,000 setahun.

Semalam, Najib mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan mengenai bajet sebelum 15 September ini untuk dimasukkan dalam Bajet 2016 yang akan dibentang di Parlimen, 23 Oktober ini.

Najib yang juga menteri kewangan, berkata cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...