9.9.15

Ringgit bagai jatuh di gelungsur, kata Pas


Tuan Ibrahim Tuan Man

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
9 SEPTEMBER 2015

SHAH ALAM - Apakah nilai ringgit perlu mencapai RM4.50 atau RM5 bersamaan 1 dolar AS barulah kerajaan akan memberi perhatian?

Demikian persoalan terkini yang dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kejatuhan nilai mata wang Malaysia.

"Ringgit sudah mencecah RM4.30 kepada 1 dolar AS. Rakyat yang perlu ke luar negara, membiayai pelajaran anak di luar negara, menunaikan haji, terlibat dengan bisnes yang memerlukan import dan pelbagai lagi sudah pun terasa gelisah.

"Solusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menampilkan kabinet yang lebih kuat dan bersatu untuk memacu pentadbiran negara dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal langsung tidak berkesan menstabilkan keadaan ekonomi dan juga keyakinan pelabur," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Malah menurutnya, nilai ringgit terus jatuh sejak rombakan Kabinet.

"Dalam masa 41 hari semenjak Muhyiddin dipecat, nilai Ringgit bagaikan jatuh di atas gelunsur, susut 13% dari RM3.814 pada 28 Julai 2015 ke RM4.303 (7 Ogos 2015).

"Apakah perlu ringgit mencapai nilai RM4.50 atau RM5 barulah kerajaan akan memberi perhatian?," katanya.

Katanya, dalam keadaan krisis itu, Najib dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih sibuk menyelamatkan karier politik masing-masing.

"Kabinet terus sibuk dengan tugas-tugas seperti mencari alamat betul bagi menghantar bil (Dewan Bandar raya Kuala Lumpur) DBKL kepada penganjur perhimpunan Bersih 4.0, membuat spekulasi akan siapa yang bakal dipecat daripada Umno dan juga mengheret mereka yang terlibat dengan perhimpunan aman ke mahkamah.

"Dengan Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan yang sibuk menyelamatkan karier politik, timbalan perdana menteri yang sibuk mempertahankan Najib, ada sesiapa yang sedang mentadbir negara ini?

"Ada pula media yang cuba mensensasikan cerita konspirasi Justo bagi mengalih perhatian daripada kejatuhan nilai ringgit yang kronik," katanya.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada kerajaan sudah ada strategi untuk menyelamatkan Malaysia dari semua isu ekonomi hari ini.

"Apakah sudah ada strategi untuk menstabilkan ringgit? Apakah sudah ada perancangan bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat? Bolehkah GST disifarkan?

"Apakah Najib dan pasukannya ada masa memikirkan semua ini selain cuba memperbaiki imejnya yang umpama kerja membalut kertas dengan api? Apakah ada penghujung kepada kejatuhan ringgit? Ya ALLAH, selamatkan negara ini," katanya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...