19.9.15

Tragedi Makkah: Tak selesa digelar jutawan baharu‎


Keluarga mangsa tragedi kren tumbang ketika menerima kunjungan Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim (kanan), kelmarin.

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 SEPTEMBER 2015


PASIR PUTEH - Keluarga Allahyarham Munah Jusoh yang meninggal dunia dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, minta orang ramai tidak buat pelbagai spekulasi berhubung penerimaan pampasan termasuk daripada pemerintah Arab Saudi berjumlah RM1.23 juta.

Anak ketiga arwah, Halimah Che Muda, 47, berkata, sehingga kini pihak keluarga tidak menerima apa-apa dokumen yang mengesahkan pembayaran seperti mana yang ditawarkan Raja Arab Saudi, termasuk tawaran penajaan kepada dua ahli keluarga.

Katanya, kesemua tawaran itu hanya dipaparkan menerusi akhbar yang memetik berita luar negara.

“Kami juga mengetahui berita itu hanya melalui televisyen tetapi kami tidak tahu sejauh mana kebenarannya.

“Setakat ini, kami tidak menerima berita berkaitan daripada pihak yang bertanggungjawab iaitu Tabung Haji sama ada secara bertulis atau pun dimaklumkan secara lisan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kechik, Cherang Ruku dekat sini, semalam.

Halimah berkata, berita mengenai pampasan itu mula menjadi viral di media sosial sehingga ia menjadi perbualan orang ramai.

Katanya, spekulasi mengenainya perlu dihentikan kerana ia mencetuskan ketidakselesaan keluarga yang kini menumpu perhatian kepada majlis tahlil arwah.

“Sumbangan khas Tabung Haji dan bayaran pampasan Skim Takaful berjumlah RM40,000 sudah mencukupi untuk menyempurnakan tahlil dan melaksanakan amal jariah bagi pihak arwah emak,” katanya.

Tambahnya, ahli keluarganya akan menyerahkan segala sedekah, pemberian dan pampasan kepada bapanya, Che Muda Che Tahir, 76, sekembalinya ke tanah air nanti sebagai pewaris utama kepada isterinya yang terkorban dalam kejadian kren runtuh.

“Kami menghormati ayah sebagai ketua dalam keluarga untuk membuat sebarang keputusan yang baik untuk kami semua.

“Jangan tafsirkan kami sebagai jutawan baharu berikutan tersebarnya berita mengenai pampasan itu, lebih baik kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan ayah kami yang masih menunaikan ibadah haji,” katanya.

Halimah berkata, sumbangan pulut kuning kepada penduduk yang menghadiri majlis tahlil akan dibuat dalam tempoh terdekat sebagai memenuhi amanat ayahnya yang meminta ahli keluarganya berbuat demikian sebaik sahaja bekalan kurma yang dipos dari Makkah selamat sampai di rumahnya di Kampung Bukit Kechik.

“Ayah ada menghubungi saya semalam, dia minta keluarga di kampung menyedekahkan pulut kuning bersama telur kepada penduduk yang datang bertahlil dan meminta kurma yang diposkan itu dijadikan pembasuh mulut,” katanya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...