Iklan Nuff

18.10.15

Sekolah satu aliran bentuk peribadi bangsa


MOTTO one band, one sound and one family menjadi teras pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah, bersatu-padu membentuk perpaduan sesama mereka. UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

REJAB F.I. | 16 Oktober 2015 6:15 PM

MENGAPAKAH sepatutnya kita menubuhkan sekolah satu aliran?

Jika kita tinjau negara-negara di dunia, khususnya negara maju, membangun dan bertamadun persekolahan mereka adalah satu aliran, termasuk negara tetangga kita Thailand dan Indonesia. Ternyata sekolah satu aliran memberi penekanan yang kukuh terhadap wujudnya satu bangsa, satu bahasa dan perpaduan.

Apa salahnya kita mencontohi negara-negara lain terutama negara maju dan bertamadun demi kemuliaan dan ketamadunan negara kita pula. Seruan supaya kita ‘menoleh ke timur’ kembali, adalah pandangan yang mulia dan bererti buat bangsa dan negara kita.

Namun sesungguhnya ‘penolehan’ tersebut tidaklah semata-mata dari segi ekonomi dan perkembang­an sains dan teknologi, toleh atau pandanglah jua tentang pendidikan negara-negara tersebut yang begitu utuh budaya dan pendidikannya.

Di negara kita, jika sekolah satu aliran ini wujud semenjak awal kemerdekaan, kita percaya soal perkauman tidak akan timbul sepertimana sekarang. Kerana itu Penyata Razak 1956 sewajarnya diguna pakai kembali untuk mewujudkan sekolah satu aliran.

Sangat besar faedah dan kepen­tingan kepada rakyat negara ini me­lalui sekolah satu aliran sepertimana negara-negara maju dan bertamadun itu - selain perpaduan, akan membentuk keperibadian rakyat, di samping terpelihara keharmonian dan kesejahteraan negara.

Justeru kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan sewajarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan sekolah tersebut. Sewajarnya jua tidak bertangguh-tangguh lagi demi memastikan pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan negara ini tidak tergugat. Kita bimbang keadaan yang mula berlaku sekarang iaitu soal perpaduan yang agak goyah akan menular lagi 10 atau 20 tahun yang akan datang.

Pihak kerajaan hendaklah berani, tegas dan penuh nekad meskipun negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan namun demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat, perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Mengikut sejarah, ketika negara kita mula mencapai kemerdekaan, semua kaum atau bangsa bersetuju dengan suatu kemuafakatan iaitu orang Melayu bersetuju memberikan hak warga negara kepada orang bukan Melayu, sebab itu kaum-kaum lain wajar menghormati persetujuan ini dan menerima hakikat kebaikan melalui sekolah satu aliran.

Untuk memastikan wujudnya sekolah ini semua rakyat hendaklah mengakui bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Faktor utama apabila wujudnya sekolah satu aliran adalah menggunakan satu bahasa iaitu bahasa rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 152 iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Boleh jadi ramai yang memikirkan tentang nasib bahasa kaum lain iaitu Cina dan India. Sudah pasti bahasa-bahasa kaum tersebut dapat dipelajari bersama dalam sekolah satu aliran ini.

Ketika itu anak-anak Melayu juga boleh mempelajari bahasa-bahasa tersebut sepertimana sekian ramai ibu bapa Melayu yang memasukkan anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan (SJK) sekarang, terutama SJK Cina. Kanak-kanak kita daripada pelbagai bangsa akan bergaul dan belajar bersama, maka akan terbentuklah perpaduan yang erat, sepertimana kata pepatah melentur buluh daripada rebungnya.

Ramai cerdik pandai kita, termasuk kalangan bukan Melayu yang menyuarakan hakikat ini seperti Profesor Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, bekas Pengarah Pelajaran Malaysia dan Mufti Negeri Perak yang begitu beria-ia benar menyeru kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu.

Selain itu banyak lagi suara individu seperti Awang Selamat (Mingguan Malaysia), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), parti politik termasuk Pas dan kita percaya jika dibuat tinjauan, majori­ti rakyat negara ini yang cintakan perpaduan menyokong penubuhan sekolah tersebut.

Penggunaan bahasa pengantar yang satu, tentulah dapat membentuk keperibadian rakyat negara ini. Bahasa adalah jiwa bangsa. Anak-anak kita terbentuk jati diri dan peribadi mencintai bangsa dan negaranya, sepertimana kanak-kanak negara maju dan bertamadun.

Elakkanlah daripada anasir bahasa asing terutama bahasa Inggeris, menguasai dan membentuk peribadi kalangan pemimpin dan ahli-ahli korporat, sehingga mereka kurang meyakini bahasa negara iaitu bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu. Sedangkan bahasa inilah yang membentuk rakyat dan sekian ramai para pemimpin kita suatu ketika dahulu.

Kita dapat menoleh ke Indonesia bagaimana para pemimpin dan rakyatnya, meskipun terdiri daripada sekian banyak bangsa dan suku kaum akan tetapi dapat mengatasi soal-soal perkauman melalui bahasa Indonesia. Jika negara tersebut boleh menyatukan ratusan suku kaum dan bangsa mengapa negara kita tidak boleh? Sedangkan negara kita cuma terdapat beberapa bangsa dan suku kaum sahaja?

Di samping itu, pelajaran sastera perlulah ditunjangi bersama kerana menerusinya dapat membentuk peribadi, sahsiah dan semangat cintakan bangsa, berperikemanusiaan dan mengasuh budi pekerti yang luhur. Jika kita memandang ke Timur khususnya negara Jepun dan Korea, begitu memberi penekanan kepada bahasa dan sastera, rak­yatnya begitu berdisiplin, menghormati ibu bapa dan masyarakatnya.

Sesungguhnya belum terlewat lagi negara kita mewujudkan sekolah satu aliran ini demi mempererat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara. Apabila kita menyedari benar-benar kepen­tingan aspek-aspek tersebut maka sebaik-baiknya usaha penubuhan sekolah satu aliran ini hendaklah disegerakan dengan penuh dedikasi dan semangat - berusaha membuat perancangannya sebaik mungkin.

Jika terdapat kalangan yang menentang, pertahankan sebaik-baiknya bahawa perancangan yang dilakukan itu demi perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara. Pihak yang menentang bererti menentang perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan!

Amatlah kita harap-harapkan agar pihak kerajaan tidak memandang sepi soal ini, kata pepatah sebelum nasi menjadi bubur - ter­utama aspek perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara - renungkanlah sedalam-dalamnya kepentingan sekolah satu aliran ini agar kita tidak menyesal nanti.

Pandangan ini ikhlas daripada hati rakyat kepada kerajaan demi pembangunan sistem pendidikan negara kita. Semoga negara kita se­iring dengan sistem pendidikan negara-negara maju dan bertamadun kerana kita amat menyedari bahawa ketamadunan sesebuah negara adalah menerusi sistem pendidikannya.

PENULIS ialah seorang novelis 
dan penulis skrip drama.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/sekolah-satu-aliran-bentuk-peribadi-bangsa-1.146929#sthash.oRiPDsiE.dpuf

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...