8.6.17

Al-Quran lahir bangsa penyayang


Fazrul

Fazrul Ismail
8 Jun 2017

DALAM buku The Power of Habit oleh Charles Duhigg ada dinyatakan tentang keystone habit atau tabiat utama yang akan memberi kesan positif kepada diri seseorang atau organisasi.

Pada Oktober 1987, pelabur dan penganalisis stok berkumpul di sebuah hotel di Manhattan untuk mendengar ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu Aluminium Company of America (Alcoa).

Alcoa adalah syarikat hebat, namun sejak kebelakangan ini tidak memberi pulangan yang baik. Paul O’Neill, sebagai CEO baharu yang berusia 51 tahun, naik ke pentas dan memulakan ucapan, “Saya ingin bercakap tentang keselamatan pekerja.”

Setelah beberapa lama, masih lagi Paul berbicara berkaitan keselamatan. Tetamu keliru. Mereka berharap ucapan awal ini berkaitan cara untuk memastikan keuntungan tapi dalam ucapan pertama tiada berkaitan untung.

“Sekarang, sebelum saya teruskan, saya mahu menunjukkan anda ruang keluar keselamatan dalam bilik ini," sambil menunjukkan belakang dewan itu.

“Ada beberapa pintu di belakang, dan kalau berlaku kebakaran atau kecemasan, anda perlu berjalan keluar dengan tenang, turun tangga ke lobi dan tinggalkan bangunan ini.”

Seluruh tetamu makin keliru.

Apa kesan dengan ucapan dan pengamalan keystone habit Paul di Alcoa? Menjelang pencen pada 2000, Paul berjaya membawa Alcoa kepada pendapatan bersih tahunan lima kali ganda berbanding sebelum beliau masuk, stok menjadi lima kali ganda lebih besar.

Inilah elemen sosiologi dalam organisasi atau masyarakat. Dalam al-Quran, ada keystone habit yang ditekankan untuk membawa impak positif.

ALLAH menyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 1-5 tentang formula berjaya dalam diri dan masyarakat ialah elemen Quran, Solat dan Infaq (QSI).

Tiga perkara ini diulang terus-menerus dengan pelbagai butiran memastikan kejayaan individu dan organisasi serta masyarakat.Mengapa QSI?

Al-Quran ialah manual kehidupan yang memberi motivasi keimanan dan praktikal dalam kehidupan . Ia menjadi prosedur standard untuk berjaya serta menjadi legasi.

Amal soleh dalam al-Quran sentiasa menitikberatkan kaizen. Amal itu tidak dikira soleh kalau tidak ada penambahbaikan. Sebagai contoh kalau ketika umur 7 tahun membaca surah al-Fatihah tanpa faham. Sewajarnya ada kaizen berlaku pada umur 50 tahun ketika baca al-Fatihah. Al-Fatihah pada umur 50 tahun wajar difahami.

Makin banyak berinteraksi dengan al-Quran, makin komited interaksi kita bersama Tuhan dan makhluk dengan cara terbaik. Makin banyak interaksi dengan al-Quran, makin baik cara interaksi kita bersama Tuhan Maha Pencipta dan sesama manusia.

Makin kurang interaksi dengan al-Quran, ia memberi jawapan yang jelas: makin lemah hubungan dengan Tuhan dan makin buruk hubungan sesama manusia.
Kempen sosial

Usaha melaksanakan perubahan kebaikan ini memerlukan kesedaran seluruh pihak. Paul O’Neill memulakan ucapannya tentang keselamatan, prosedur serta butiran keselamatan agar semua orang sedar.

Staf Paul pada pelbagai peringkat perlu menghadamkannya serta melaksanakannya. Paul berseorangan tidak mampu menjana perubahan.

Untuk membina bangsa berbudi dan penyayang, kesedaran ini perlu dipasak dan disampaikan ke seluruh masyarakat.

Malaysia #QuranHour (MQH) dan World #QuranHour (WQH) adalah kempen serius bina bangsa berbudi dan penyayang. Ia adalah kempen sosial daripada masyarakat untuk masyarakat bagi memperbaikkan lagi hubungan dengan Pencipta dan sesama manusia.

Kempen Malaysia #QuranHour diadakan pada Ramadan, manakala World #QuranHour berlaku pada bulan Zulhijah.Kempen MQH dan WQH ingin menuju kepada My #QuranHour sepanjang tahun.
Pemuda membina bangsa

Siapakah yang akan memulakan kempen ini dan menyebar luaskannya?

Apabila pemuda dapat solat berjemaah, ia lambang keseriusan bangsa ini untuk terus mampu berbudi dan penyayang. Bangkit awal pagi untuk al-Quran dan solat pasti akan memudahkan urusan infaq seterusnya.

Bangsa ini dibina pemuda yang berbudi dan penyayang. Sentiasa melaksanakan keystone habit iaitu Quran, solat dan infaq. Ayuh!

Untuk memperkukuh barisan pemuda ini, orang ramai dijemput menyertai program kerohanian, Youth #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, 10 Jun 2017 bermula jam 4.45 pagi hingga 8 pagi.

Program dianjurkan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Rumah Ngaji, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Sahabat Quran.

Peserta digalak membawa al-Quran terjemahan, beriktikaf dan qiamullail seawal jam 4 pagi. Aktiviti dimulakan dengan bersahur dan solat subuh berjemaah. Sesi Tadabbur Surah Al-Fajr oleh Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar turut diadakan dan diakhiri ikrar Fajar Sejuta Pemuda dan doa.

Pihak #QuranHour melantik YDKMM sebagai Sahabat Quran bagi pelaksanaan #QuranHour peringkat belia, dengan nama Youth #QuranHour. Lantikan ini dibuat selaras dengan misi YDKMM dalam membina umat melalui pembangunan belia.

YDKMM dengan langkah proaktif menganjurkan satu projek bernama Fajar Sejuta Pemuda pada 9 Jun ini. YDKMM akan melancarkan Subuh Sejuta Pemuda di lokasi yang sama, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada jam 5 petang.

Majlis tersebut dimulakan kata-kata aluan tetamu kehormat, Penasihat YDKMM, Dr Mohd Hizul Azri Md Noor, alunan gema zikir menggegar jiwa oleh Munif Hijjaz, Iftar, solat Maghrib, solat Isyak dan Tarawih serta Teh Tarik Moreh Talk Show.

Acara diteruskan dengan Youth #QuranHour jam 4 pagi keesokan harinya. Ia projek besar dengan misi membangkitkan jiwa pemuda hari ini daripada lena, lantas bangun membina kekuatan umat melalui solat subuh berjemaah di masjid.

Misi YDKMM dalam pelaksanaan Fajar Sejuta Pemuda (FSP) dan misi Quran Hour setara dan kerjasama ini adalah satu lagi anjakan dalam membangun umat. Aplikasi tersebut membantu umat Islam bangun awal sebelum azan subuh berkumandang. Fungsi check in masjid dan ada cabaran jejak masjid bagi solat subuh di masjid. Diharapkan perkara ini menjadi tarikan kepada pemuda yang tidak pernah berenggang dari telefon pintar.

YDKMM ingin mencapai kualiti umat yang bukan sahaja boleh membaca al-Quran tetapi mampu memahami dengan baik serta menjaga solat subuh berjemaah di masjid.

Kekuatan YDKMM dalam membina dan membangun belia tidak dinafikan apabila mereka mampu mengendalikan projek besar, Fajar Sejuta Pemuda yang bakal dilancarkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan serentak di seluruh Malaysia dengan penglibatan beberapa masjid negeri. Mereka aktif melaksanakan program belia di sekolah, matrikulasi dan peringkat IPT.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...