7.6.17

Hanya 40 peratus peniaga bazar jaga kebersihan


Pegawai Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan SWCorp bertanya sesuatu dengan peniaga kebab Norizati Md Zain, 18, (kiri) ketika Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu di Bazar Ramadan di Tapak Bazar Ramadan Stadium Darulaman hari ini. - Foto Bernama

6 Jun 2017

ALOR SETAR - Hanya 40 peratus peniaga di 18 bazar Ramadan di sekitar Alor Setar yang mengamalkan budaya menjaga kebersihan, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Hazahar Hashim.

Hazahar berkata hasil pemantauan di bazar Ramadan di Stadium Darul Aman juga mendapati rata-rata peniaga tahu dan faham tentang pentingnya menguruskan sisa pepejal dan menjaga kebersihan namun ia tidak dilaksanakan.

"Apabila kita tanya, kebanyakan peniaga tahu tentang pentingnya menjaga kebersihan tetapi ia tidak dibudayakan oleh mereka sendiri.

"Jumlah 40 peratus itu masih sedikit, jadi mereka perlu sama-sama main peranan untuk memastikan sisa pepejal diuruskan dengan betul selain menjaga kebersihan makanan dan minuman yang dijual kepada pembeli," katanya kepada pemberita selepas operasi pemantauan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman, hari ini.

Katanya, objektif utama operasi itu adalah untuk memberi kesedaran kepada peniaga dan masyarakat supaya menguruskan sisa pepejal dengan cara betul selain mengamalkan budaya menjaga kebersihan.

Beliau berkata SWCorp juga menjangkakan peningkatan jumlah sisa pepejal di negeri ini sebanyak 25 hingga 30 peratus menjelang 15 hari terakhir bulan Ramadan.

"Pada awal Ramadan, jumlah pembuangan sisa pepejal meningkat kepada 22 peratus dan ia dijangka akan terus meningkat antara 25 hingga 30 peratus bagi tempoh 15 hari terakhir bulan Ramadan berikutan pertambahan jumlah orang yang pulang ke kampung.

"Kebiasaannya, jumlah sampah yang dihasilkan di Kedah sebanyak 1,200 tan sehari tetapi ia dijangka meningkat antara 1,400 hingga 1,500 tan sehari," katanya.

Dalam pada itu, Hazahar mengingatkan masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata serta tidak melonggokkan sampah di tempat awam kerana SWCorp akan mengambil tindakan tegas kepada pelaku.

"Pegawai kita akan mula mengambil tindakan terhadap pelaku yang melonggokkan sampah di tempat awam bagi memastikan kebersihan di negeri ini dapat dijaga dengan baik," katanya. –Bernama

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...