7.6.17

Pelaksanaan #QuranHour adalah harus



Wartawan Sinar Harian
30 Mei 2017

SHAH ALAM - Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan memutuskan program #QuranHour adalah harus berdasarkan dhawabit dan garis panduan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu dibuat susulan beberapa persoalan yang dibangkitkan masyarakat berkenaan kempen tersebut.

"Telah sampai kepada kami beberapa persoalan daripada masyarakat berkenaan kempen #QuranHour.

"Antara yang dibangkitkan adalah kempen ini satu bentuk bidaah yang dicela kerana beberapa sebab, antaranya, meniru perayaan masyarakat barat yang mengadakan Earth Hour, berhimpun pada hari Wukuf selain daripada Arafah dan menentukan waktu tertentu untuk ibadah tertentu," katanya.

Katanya, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dalam mesyuaratnya pada hari ini telah menjelaskan isu ini secara terperinci melalui Bayan Linnas siri ke 94: Hukum Penganjuran Program Kempen #QuranHour supaya ianya bermanfaat kepada masyarakat.

#QuranHour adalah inistiatif yang dicetuskan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Hussamuddin Yaacub. Ia adalah kempen secara besar-besaran bagi memperkasakan ummah melalui ilmu dan amal berlandaskan al-Quran.

Yayasan WUI bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf berperanan menggalakkan inisiatif baca, faham, amal serta berinteraksi dengan al-Quran melalui #AktifkanRumahNgaji.

#QuranHour dipromosikan di peringkat dunia menggunakan nama World #QuranHour, yang akan berlangsung pada 9 Zulhjjah bersamaan 31 Ogos 2017.

Manakala, Malaysia #QuranHour akan diadakan pada 24 Ramadan atau 19 Jun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tahun ini adalah tahun ketiga pelaksanaan Malaysia #QuranHour atau sebelum ini dikenali sebagai #MalaysiaNgaji dan disasarkan kepada semua rakyat dalam dan luar negara.

Pelaksanaan Malaysia #QuranHour telah menjadi tular di media sosial sehingga mendapat 27 juta maklum balas.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...