Alhamdulillah, satu lagi perkembangan positif buat industri Kedah.
Pengumuman BYD Malaysia pada 15 Oktober 2026 yang memilih Inokom Corporation Sdn. Bhd. di Kulim sebagai rakan pemasangan tempatan secara Completely Knocked-Down (CKD) mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan pembuatan dan kepakaran tenaga kerja yang telah dibangunkan di negeri ini.
Kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman di Shenzhen ini membuka lembaran baharu kepada perkembangan industri automotif Kedah, khususnya dalam segmen kenderaan tenaga baharu.
Pemilihan Inokom mempunyai asas yang kukuh. Kemudahan pengeluaran, tenaga kerja berpengalaman dan infrastruktur sedia ada merupakan antara faktor yang dinyatakan BYD dalam membuat keputusan tersebut.
Inokom di Kulim sudah mempunyai rekod pemasangan jenama antarabangsa seperti BMW, MINI, Porsche, Mazda, Hyundai dan Chery. Malah, Kulim menjadi lokasi pemasangan Porsche pertama di luar Eropah, selain mempunyai pengalaman pemasangan kenderaan elektrik seperti Chery Omoda E5 dan BMW i5.
Inokom disokong lebih 2,700 pekerja mahir yang kesemuanya rakyat Malaysia serta rangkaian 370 vendor tempatan, termasuk perusahaan Bumiputera.
Pengeluaran tahunannya meningkat daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada 2025. Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, lebih 24,500 kenderaan turut dieksport ke pasaran serantau.
Angka ini memperlihatkan keupayaan industri yang telah terbina di Kedah yang mempunyai tenaga tempatan mampu memenuhi tuntutan kualiti jenama dunia.
Bagi saya, perkembangan ini perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas untuk rakyat. Kita mahu anak Kedah mempunyai lebih banyak laluan menjadi juruteknik berkemahiran tinggi, jurutera dan pemimpin industri. Kita juga mahu usahawan tempatan berpeluang membekalkan komponen, mengendalikan logistik dan menyediakan perkhidmatan sokongan.
Di sinilah hubungan antara industri, institusi pengajian tinggi dan TVET perlu diperkukuh. Anak muda mesti dipersiapkan dengan kemahiran yang benar-benar diperlukan supaya mereka mampu merebut peluang dalam industri automotif generasi baharu.
Tahniah kepada BYD, Sime Motors, Inokom serta seluruh tenaga kerja yang membina kepercayaan ini melalui kepakaran dan mutu kerja.
Jenama dunia memilih Kulim. Aspirasi kita ialah memastikan rakyat turut maju bersama pertumbuhan industrinya.




