Iklan Nuff

2.6.14

Cadbury: Jakim sahkan bebas DNA babi

Cadbury

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
2 Jun 2014

BANGI - [VIDEO] [DIKEMASINI] Dua produk Cadbury yang dilaporkan mengandungi DNA babi disahkan bebas daripada unsur haram itu berdasarkan analisis yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kedua-dua sampel produk coklat dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam diambil dari kilang pengeluar produk tersebut di Shah Alam.

"Bukan hanya dua sampel dihantar untuk dianalisa Jabatan Kimia tapi 11 sampel. Keputusan analisa keluar pagi tadi.

"Keputusan analisis makmal terhadap Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok 200813 M01H12, DNA babi tidak dikesan.

"Bagi Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok 221013 N01RI1, DNA babi tidak dikesan," katanya dalam sidang media tergempar, sebentar tadi.

Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury.

"Bagaimanapun, memandangkan perkara ini melibatkan tanggungjawab dan integriti syarikat, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula merangkumi bahan mentah aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

"Laporan pemeriksaan menyeluruh tersebut akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk tersebut dikembalikan," katanya.

Jamil Khir menegaskan, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam soal halal haram di negara ini.

"Kerajaan tidak melindung mana-mana pihak sebab bukan ringan nak tanggung soal halal haram ini.

"Kita akan panggil semua pihak untuk menyelaraskan semua perkara. Saya nak tegaskan, hanya Jakim yang boleh mengumumkan tentang halal bukan pihak lain," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan penemuan DNA babi dalam produk makanan Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no 200813M01H I2) yang bertarikh luput 13 November 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

sumber : Sinar Harian

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...