25.10.12
26.11.09
Khutbah Hari Raya Qurban
Alhamdulillah, marilah kita bersyukur kehadrat Allah azzawajala, yang telah melimpahkan taufiq dan hidayah serta nikmatnya yang tidak terhingga kepada kita, berhimpun pada hari yang penuh berkat di rumah Allah ini, bahkan kepada seluruh umat Islam di mana sahaja berada, dua macam nikmat yang paling ketara dinikmati oleh umat Islam pada hari ini ialah:
Pertama : Kira-kira lebih tiga juta umat Islam sekarang ini sedang menjadi tetamu Allah, di tanah Suci untuk menunaikan ibadat Haji.
Kedua : Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat Haji, masih berpeluang menghayati syiar Aidiladha yang agung dan bermakna bagi seluruh umat Islam.
Umat Islam di Mekah almukarramah pada hari ini sedang sibuk dengan urusan kerja-kerja ibadat haji, samada sedang membuat lontaran jamrah aqabah di Mina atau sedang melakukan Tawaf di Baitullah dan Sa'ie atau ibadat-ibadat yang lainnya. Semalam tanggal 9 Zulhijjah, mereka berwukuf di Padang Arafah dengan pakaian ihram serba putih melambangkan ketulusan hati, sama-sama menyahut panggilan Ilahi, mengagungkan Allah S.w.t. dan kepadanya berserah diri dengan melafazkan talbiah yang menusuk jantung hati :
klik untuk baca khutbah ini sepenuhnya
21.9.09
Kita dan Hari Raya
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.
Di ambang perpisahan
Ramadhan 1430 H diambang perpisahan dan akan meninggalkan kita lagi untuk kali ini. Seharusnya umat Islam melahirkan perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan kali ini.. Semoga kita dapat menghabiskan sisa fasa ketiga dengan sebaiknya. Dalam fasa ketiga ini umat Islam diseru untuk berusaha mencari Lailatul Qadar (Malam al-Qadar). Malam al-Qadar merupakan satu anugerah yang sangat istimewa kepada umat Islam umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah) yang mana ianya akan disambut pada 1 Syawal. Ketibaan Bulan Syawal seharusnya disambut dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’aala yang mengurniakan kita nikmat yang banyak dan tidak terhitung nilainya.
Fenomena yang melenyapkan perasaan sedih
Ketika umat Islam berada di penghujung Bulan Ramadhan, lagu-lagu raya dan promosi filem-filem mula menghiasi kaca-kaca televisyen. Kita berasa sangat sedih dengan fenomena seperti ini. Fenomena ini akan menyebabkan umat Islam langsung tidak menyedari bahawa Ramadhan akan meninggalkannya dan tiada lagi perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan. Hakikatnya tiada siapa pun yang dapat memastikan dirinya akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Segalanya berada dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’aala.
Amat malang bagi umat Islam hari ini yang tidak dididik untuk bersedih apabila berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Kanak-kanak dilalaikan dengan permainan mercun dan bunga api yang jelas membazir malah membahayakan dan bukannya dididik untuk bertakbir. Sepatutnya semenjak kecil lagi kanak-kanak diasuh untuk menghayati Ramadhan dan menghayati tatacara menyambut ketibaan Hari Raya menurut ajaran Islam yang sebenar. Manakala umat Islam yang lain disibukkan dengan aktiviti membeli-belah, membuat kuih-muih dan pelbagai aktiviti lain. Malah terdapat gedung-gedung dan pasaraya yang melanjutkan tempoh perniagaan mereka sehingga larut malam pada hujung Ramadhan bagi membolehkan umat Islam terus dapat membeli-belah persiapan untuk menyambut Eidul Fitri.
Sesungguhnya fenomena seperti ini sedikit demi sedikit akan menyebabkan umat Islam terlupa akan saat untuk berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Sedangkan Nabi dan para sahabat menjadikan 10 terakhir Ramadhan untuk melipat gandakan ibadah untuk mencari ‘lailatul qadar’. Saya pernah mendengar saranan penceramah di dalam radio agar segala persiapan hari raya ini diselesaikan terlebih awal iaitu sebelum Bulan Ramadhan lagi. Saya merasakan ada baiknya saranan tersebut dilakukan oleh seluruh umat Islam bagi memastikan kita dapat memaksimakan amalan-amalan di Bulan Ramadhan.
Hari Raya Hari Kemenangan
Eidul Fitri akan disambut oleh seluruh umat Islam pada 1 Syawal pada tiap-tiap tahun. Perkataan ‘Eid’ beerti perayaan atau hari ulang tahun manakala perkataan ‘fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Dengan makna lain pada hari raya umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.
Eidul Fitri merupakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam yang telah berusaha bersungguh-sungguh mentaati seluruh perintah Allah Subhanahu Wata’aala dan berusaha untuk menundukkan nafsu di bulan yang mulia iaitu Bulan Ramadhan. Sebulan di Bulan Ramadhan umat Islam diuji dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan ujian kesakitan, ujian kesusahan hidup dan ujian kelaparan. Maka umat Islam yang dapat mengharungi mehnah dan tribulasi dengan sabar dan penuh keredhaan merupakan umat Islam yang berjaya.
Di Bulan Ramadhan kita diperintahkan supaya bersederhana ketika berbuka puasa dan begitu jugalah dalam menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah). Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira tetapi janganlah keterlaluan dan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran dalam menyambut Hari Lebaran.
Cara menyambut Eidul Fitri menurut Syariat
Di sini dinyatakan cara umat Islam menyambut Eidul Fitri menurut Syariat Islam. Antaranya ialah:
1. Memperbanyakkan ucapan takbir
2. Menunaikan zakat fitrah
3. Menunaikan solat Eidul Fitri
4. Saling bermaaf-maafan
5. Saling ziarah menziarahi
6. Bersederhana
7. Puasa Sunat 6 Hari di Bulan Syawal
8. Meneruskan qiamullail
9. Mandi pada pagi hari raya
10. Makan sebelum solat Eidul Fitri
11. Memakai pakaian yang indah
12. Bergembira di Eidul Fitri
Inilah merupakan sebahagian daripada amalan-amalan yang disyariatkan dan diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika menyambut Eidul Fitri. Semoga Eidul fitri pada tahun ini dapat kita sambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran serta kemeriahan bertepatan dengan suruhan Allah Subhanahu Wata’aala dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Selamat Menyambut Eidul Fitri. Maaf Zahir Dan Batin. Daripada http://abuaiman786.blogspot.com
16.9.09
APA ITU HARI RAYA?

Apa itu hari raya? Pada lughah atau pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasaraya ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan utama. Begitu juga dengan lebuhraya dan sebagainya. Oleh itu hari raya bermaksud hari yang besar atau hari yang utama.
Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya. Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar? Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan permaidani? Adakah setiap sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut baru?
Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau show hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.
Bagi orang melayu, eid fitr dinamakan hari raya puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat mudah. Ia dinamakan hari puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Senang dan mudah. Ini sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar. Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya patut disambut. Mereka kira hari raya itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru.
Bagi yang lebih tua, hari raya jadi hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada hari raya. Sambutan hari raya sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan open-housenya, hari raya get-togethernya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.
Dalam Islam tidak ada hari raya dalam konteks yang difahami oleh orang Melayu. Tidak ada hari untuk tukar langsir, perabot dan permaidani. Tidak ada hari untuk membeli baju atau kasut baru. Tidak ada hari untuk membazir dan bermewah-mewah. Lebih-lebih lagi tidak ada hari untuk berhibur, berseronok, berpesta dan bersuka ria dengan muzik, nyanyian, joget, tari-menari, show, album dan sebagainya. Yang ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.
Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula.
Kerana kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya sudah rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka.
Puasa itu mampu membersih dan menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada lahir dan batinnya. Puasa yang ada rohnya. Bukan sahaja kita menahan diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap dengan isteri di siang hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahan dari melihat, mendengar dan berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita ditahan dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang haram dan jahat. Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti marah, hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Nafsu kita dikekang dan ditahan supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak terlalu gilakan dunia.
Di samping puasa, ada banyak lagi amalan-amalan lain di bulan Ramadhan untuk membantu membersihkan lagi fitrah kita. Ada solat terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat fitrahnya dan berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan Ramadhan seperti beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa. Di sini kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri ialah pada amalan puasanya di bulan Ramadhan dan bukan kepada hari rayanya yang disambut pada 1 Syawal. Yang dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa yang dilakukan dan bukan hari berbukanya, iaitu hari rayanya.
Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan penuh rahmat. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan syaitan dibelenggu. Bulan di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa diterima. Ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Tuhan memberi pahala terhadap ibadah puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang Tuhan beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi bagi ibadah puasa ini, pahalanya ikut suka Tuhan. Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari murung dan hari kesedihan. Hari berakhirnya bulan berkat dan bulan rahmat. Hari berakhirnya bulan keampunan. Hari terbuka semula pintu neraka dan bebasnya para syaitan. Bermula pada 1 Syawal, dunia akan mula mengkeronyok dan merobek-robek fitrah kita; mengotori, mencemari dan merosakkannya hinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau ajal tidak mengizinkan. Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada hari raya. Tidak ada apa-apa sebenarnya yang kita hendak gembirakan. Tidak ada apa-apa yang kita hendak sambut.
Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari raya kecuali kita disuruh berbuka dan diharamkan berpuasa. Yang ada hanya berbanyak-banyak syukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Kalau hari raya disambut dengan penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam menyambutnya ada pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya, puasa kita selama sebulan itu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa kebaikan yang kita dapat. Jelas bahawa fitrah kita masih kotor dan rosak. Jiwa kita masih lemah kalaupun tidak mati. Kalau pada 1 Syawal pun, fitrah kita sudah lemah dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam mengharung dan menghadapi dunia ini selama sebelas bulan lagi sebelum tiba Ramadhan akan datang. Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka ria, berpesta, berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan nafsu, bukan tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita berusaha membersihkan fitrah, nafsu kita pula yang mengamuk dan menguasai diri kita. Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan akhirat, kita perlu ubah fahaman dan pegangan kita tentang hari raya puasa ini.
Kalau boleh kita tukar istilah hari raya puasa ini kepada istilah yang lebih tepat mengikut kehendak agama. Kita tukar kepada hari raya fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang bermaksud hari besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah kita. Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai. Hari raya fitrah patut diisi dan dipenuhkan dengan berzikir, bertafakur, bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Ia patut disambut dengan segala kebaikan yang berpunca dan yang didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu dan memberi makan fakir miskin. Merapatkan silaturrahim. Berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-maafan. Bertolong bantu. Berkasih sayang dan sebagainya. Hari raya fitrah bukan hari untuk memuaskan nafsu.
HARI RAYA YANG HAKIKI:
Anas bin Malik berkata, ada 5 erti Hari Raya yg sebenarnya:
- Hari yang dilalui oleh mukmin yang tidak dicatit padanya dosa-dosa.
- Hari yg keluar dari dunia ini(mati) dengan membawa Iman, dapat mengucap dua kalimah syahadah dan terpelihara dari tipuan Syaitan
- Hari yg dia berjaya menempuh Titian Siratul Mustakim dengan aman, selamat daripada huru, selama Qiamat dan terlepas dari seksaan Malaikat Zabaniah.
- Hari yang dia masuk ke dalam Syurga dan aman (terpelihara) daripada Neraka Jahim
- Hari di mana dia dapat melihat Zat Tuhannya.
